JAIPk akan teruskan operasi gempur aktiviti tidak bermoral, transgender
Bernama
Disember 12, 2023 05:45 MYT
Disember 12, 2023 05:45 MYT
IPOH: Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abd Halim mempertahankan tindakan jabatan itu menggempur aktiviti melibatkan golongan transgender bagi tujuan maksiat yang dilaksanakan di negeri tersebut.
Harith Fadzilah berkata, pihaknya akan terus melaksanakan operasi mencegah sebarang kegiatan mungkar yang melibatkan isu moral dan ia akan dilakukan secara berkala.
"Prinsip kita mudah, JAIPk sendiri tidak suka nak lakukan tangkapan namun operasi mencegah aktiviti maksiat dan tidak bermoral ini akan diteruskan bagi mengekang kegiatan itu berleluasa," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau memberi respons terhadap laporan media iaitu Justice for Sisters (JSF) yang mengecam penahanan lima individu transgender di Ipoh, Perak, dalam operasi JAIPk yang dinamakan sebagai "Op Cegah Pondan" baru-baru ini.
Pengasas Bersama JSF, Thilaga Sulatireh dilaporkan berkata, nama operasi itu amat biadab, merendahkan dan mencerminkan prasangka dan salah faham yang mendalam mengenai identiti gender selain mendakwa serbuan itu juga mencerminkan sikap tidak menghiraukan hak asasi manusia dan maruah diri.
Sementara itu, Harith Fadzilah berkata, isu LGBT adalah perkara yang amat ditentang agama dan jabatan tersebut komited melaksanakan sebarang tindakan untuk mengawalnya.
"Tiada niat merendahkan, kita berprinsip selagi mana tidak bertentangan dengan agama, prinsip moral termasuk budaya ketimuran maka kita tak perlu pun nak tangkap atau buat serbuan.
"Namun jika bertentangan maka kita akan ambil tindakan mengikut bidang kuasa dan perundangan sedia ada yang diberikan kepada kita," katanya. - BERNAMA