JAIPk, AADK gempur premis disyaki pusat pelacuran, 43 ditahan
Aida Aziz
Disember 23, 2023 04:50 MYT
Disember 23, 2023 04:50 MYT
IPOH: Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menggempur sebuah premis yang dipercayai dijadikan pusat pelacuran di Jalan CM Yusuf, di sini pada Jumaat malam.
Dalam operasi bagi membanteras kegiatan tersebut, seramai 43 orang yang terdiri daripada lelaki dan wanita ditahan.
Jurucakap Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berkata, serbuan berkenaan dilakukan oleh 30 pegawai dan anggota JAIPk.
Ia turut mendapat kerjasama sepasukan anggota daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri Perak.
Menurutnya, premis tersebut digempur bermula jam 8.30 malam dan operasi selesai sepenuhnya pada jam 1 pagi.
"Bahagian Penguatkuasaan JAIPk dengan dibantu AADK Perak menyerbu premis tersebut pada Jumaat bermula jam 8.30 malam dan berakhir 1 pagi.
"Kesemua 43 orang lelaki dan wanita yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke pejabat bagi tujuan dokumentasi dan ujian saringan air kencing oleh AADK," katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.