JAINJ pantau secara aktif lima ajaran sesat

Bernama
Julai 24, 2024 09:16 MYT
Mohd Fared berkata dua laporan diterima berhubung ajaran Millah Abraham di Segamat dan Pontian tahun ini namun tiada aduan diterima mengenai ajaran Syiah dan Hizbut Tahrir setakat ini. - Gambar fail/Bernama
JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memantau secara aktif lima daripada 19 ajaran sesat yang telah difatwakan haram di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata ajaran tersebut ialah Syiah, Hizbut Tahrir, Millah Abraham, Suhaini Mohammad (Sihulk) dan ajaran Qadiani.
Beliau berkata dua laporan diterima berhubung ajaran Millah Abraham di Segamat dan Pontian tahun ini namun tiada aduan diterima mengenai ajaran Syiah dan Hizbut Tahrir setakat ini.
"Sihulk, kumpulan ini bergerak aktif di media sosial dan sentiasa dipantau oleh Bahagian Penguatkuasaan JAINJ dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC). Kumpulan ini aktif di New Zealand.
"Sementara ajaran Qadiani dalam proses difatwakan semula daripada murtad kepada ajaran yang bertentangan dengan Islam," katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Guru Agama Kerajaan Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ajaran sesat yang dipercayai masih aktif di Johor.
Mohd Fared berkata penguat kuasa JAINJ sentiasa bergerak tanpa mengira waktu dan bersedia mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan ajaran seumpama itu.
Sebanyak 19 ajaran atau fahaman difatwakan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri itu sejak 1986 hingga 2022 antaranya ajaran Ayah Pin, Wahabi, Taslim, Ilmu Makrifat, Gunung Ledang Tangkak, Azman Samat, Yayi dan Hadi Minallah.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai beberapa siri penahanan dan pendakwaan pengikut ajaran dan fahaman sesat termasuk kumpulan pengganas Islamic State (IS) di Johor, beliau berkata hal itu menunjukkan kesungguhan pihak berkuasa menjalankan tugas dan kerajaan negeri akan terus bekerjasama bagi membanteras ajaran seumpama itu.
-- BERNAMA
#Jabatan Agama Islam Negeri Johor #pantau ajaran sesat #Mohd Fared Mohd Khalid #Hizbut Tahrir #millah abraham #Sihulk