JAIK diminta senarai adat warisan yang tidak menyalahi ajaran Islam
Bernama
November 25, 2013 13:07 MYT
November 25, 2013 13:07 MYT
Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) diminta menyenaraikan adat warisan yang tidak menyalahi ajaran agama untuk diamalkan oleh umat Islam negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Badan Bukan Kerajaan negeri, Aminuddin Omar berkata penjelasan JAIK penting kerana terdapat adat yang diamalkan turun-temurun dan sudah menjadi seperti budaya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Festival Adat 2013 di Majis Wang Tepus dekat Jitra, Ahad.
Menurut anggota Dewan Undangan Negeri Jitra itu, adat yang diamalkan masyarakat seperti berendoi dan cukur jambul tidak melanggar hukum agama kerana ia memuji kebesaran Allah dan mengasihi Nabi Muhammad SAW.
"Adat yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti lambung kain, guna beras kunyit dan kemenyan boleh memesong akidah orang Islam dan perlu diberi penjelasan oleh JAIK," kata Aminuddin.
Beliau berkata adat yang menjurus ke arah keagamaan dan perpaduan umat Islam perlu diteruskan.
Menurutnya, kerajaan negeri akan berusaha memartabat dan mempertahankan adat yang tidak bertentangan dengan Islam untuk diwarisi oleh generasi muda supaya tidak pupus ditelan zaman.