Jahidah selamat lahirkan bayi lelaki

Sinar Harian
Disember 1, 2021 11:26 MYT
Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban malam Selasa. -Facebook
SEREMBAN: Wanita hamil yang parah dipukul suaminya sehingga koma, Jahidah Nordin, 43, selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban di sini malam Selasa.
Menerusi hantaran Facebook adiknya, Fauziah Nordin, 40, Jahidah menjalani pembedahan kecemasan kira-kira jam 9 malam.
"Alhamdulillah kak Jahidah sudah lahirkan baby, pembedahan kecemasan pukul 9 (malam).
"Esok kena ke hospital tengok baby.
"Sekarang keadaan kakak kena pantau 24 jam," tulisnya.
BACA: Wanita hamil koma dipukul suami kini di bawah jagaan keluarga
Sumber Facebook fauziah2011
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Jahidah yang sedang hamil dijangka melahirkan bayi secara pembedahan pada Rabu.
BACA: Wanita koma dibelasah suami bakal lahirkan bayi
Jahidah dimasukkan ke Wad Obstetrik dan Ginekologi, HTJ sejak 22 November lalu tetapi keluarga tidak dibenarkan melawat kerana prosedur sangat ketat.
Doktor memaklumkan bahawa wanita itu bakal berhadapan pelbagai komplikasi respiratory distress (kesukaran pernafasan), pendarahan, jangkitan kuman, cardiac arrest (jantung terhenti) dan kematian.
Dalam kejadian pada 4 Mei lalu, Jahidah, yang menetap di Johor Bahru koma kerana kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.
BACA: Pukul isteri hingga koma, peniaga mengaku tidak bersalah
Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke HTJ Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.
Pada 17 Jun lalu, suami mangsa, Rosmaini Abd Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma dalam kejadian pada 4 Mei lalu.
*Berita asal di Sinar Harian
#Jahidah Nordin #Fauziah Nordin #isteri koma dipukul #Jahidah selamat lahirkan bayi lelaki
;