Jahidah masih terlantar, anak kini berstatus OKU

Sinar Harian
November 3, 2024 14:00 MYT
Jahidah (kiri) masih masih terlantar di atas katil, manakala anaknya kini berstatus orang kurang upaya (OKU). -Gambar fail/Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Keadaan wanita yang sebelum ini koma dipukul suami, Jahidah Nordin, 46 masih masih terlantar di atas katil manakala anaknya kini berstatus orang kurang upaya (OKU).

Ringkasan AI
  • Jahidah Nordin masih terlantar di atas katil dan anaknya, Eshan Nufail, kini berstatus OKU kerana pertumbuhan yang perlahan.
  • Eshan Nufail kini sudah berusia 3 tahun namun masih tidak mampu berjalan dan bertutur seperti kanak-kanak normal lain sebayanya.
  • Mahkamah Sesyen Johor Bahru menangguhkan keputusan kes Rosmaini Abd Raof yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah, ke 9 Disember.
  • Rosmaini didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah pada Mei 2021, yang mengakibatkan Jahidah koma dan melahirkan anak semasa dalam keadaan koma.

Perkembangan itu dimaklumkan adik Jahidah, Fauziah, 43, ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Sesyen di sini, pada Ahad.
Menurutnya, Eshan Nufail kini sudah berusia 3 tahun namun masih tidak mampu berjalan dan bertutur seperti kanak-kanak normal lain sebayanya.
"Keadaan kakak (Jahidah) masih sama, hanya terbaring atas katil, diberikan susu menerusi tiub dan perlu diuruskan keluarga sepenuhnya.
"Sementara Eshan Nufail, disahkan sebagai OKU kerana pertumbuhan yang perlahan termasuk masih tidak boleh bercakap serta berjalan selain memiliki berat hanya 9.5 kilogram.
"Eshan juga perlu menjalani rawatan fisioterapi dan amat memerlukan perhatian rapi dari kami sekeluarga," katanya.
Fauziah tiba dari Nilai, Negeri Sembilan, pada Sabtu ditemani abangnya Mujahid, 46, yang datang dari Kota Kinabalu, Sabah.
Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Ahad menangguhkan keputusan kes peniaga yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya, Jahidah Nordin@Sylvester sehingga koma tiga tahun lalu ke tarikh 9 Disember depan, selepas tertuduh tidak hadir ke mahkamah.
Hakim Fatimah Zahari membuat keputusan itu selepas peguam tertuduh, Mohd Salleh Togimin, memaklumkan anak guamnya, Rosmaini Abd Raof, 41, dimasukkan ke Hospital Pendang, akibat sesak nafas, petang Sabtu.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini, dilaporkan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya, itu.
Kes Jahidah itu pernah menggemparkan negara berikutan wanita berkenaan dilaporkan hamil ketika dipukul sehingga parah dan koma. -Sinar Harian
#Jahidah Nordin #Eshan Nufail #Rosmaini Abd Raof #OKU
;