"Jagalah wanita dengan baik" - Pesan Jamaluddin kepada Shahrizat

Bernama
April 6, 2015 08:42 MYT
"Jat, jangan lupa wanita amat mustahak. Jagalah wanita dengan baik," kata Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dua jam sebelum Jamaluddin terlibat nahas. - Gambar Fail
"Jat, jangan lupa wanita amat mustahak. Jagalah wanita dengan baik," kata Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dua jam sebelum Jamaluddin terlibat dalam nahas helikopter Sabtu.
Kata-kata itu membayangkan hasrat Jamaluddin selaku anggota Majlis Tertinggi UMNO agar Pergerakan Wanita parti itu di bawah pimpinan Shahrizat tetap utuh dan kukuh.
Shahrizat berkata perbualan dan pesanan terakhir itu berlangsung dua jam sebelum nahas yang mengorbankan anggota Parlimen Rompin itu bersama lima yang lain termasuk Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias.
"Arwah telefon saya dua jam sebelum nahas ini berlaku, kami berbual kira-kira 12 minit. Tidak sangka ia perbualan terakhir," kata Shahrizat ketika ditemui di Masjid Negara selepas pengkebumian arwah berlangsung.
GALERI FOTO: Upacara pengebumian Tan Sri Jamaluddin Jarjis di Makam Pahlawan
Menceritakan detik pertama selepas mengetahui rakan seperjuangannya itu terlibat dalam nahas tersebut, Shahrizat berkata badan beliau jadi gementar dan teringat perbualan bersama arwah.
"Ketika arwah telefon, saya dalam perjalanan hendak ke persidangan wanita di Kepong. Kami berbual dalam pukul 3.00 petang semalam.
"Beliau hendak bertanya khabar dan sampaikan pesanan kepada saya. Kami ada bincang sedikit tentang keadaan semasa dan sempat berseloroh bersama-sama tentang perjuangan wanita sebab arwah memang rapat sangat dengan Pergerakan Wanita," katanya.
Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, arwah memang sangat rapat dengannya dan keluarga malah ia bukan semata-mata dalam urusan politik tetapi juga sahabat sejati.
Beliau masih teringat kata-kata Allahyarham "Ok, I'm going off" (Ok, saya pergi) yang bagi Shahrizat tentunya membawa maksud sahabatnya itu akan menaiki helikopter dan berlepas.
"Saya tidak akan lupa jasa baik arwah. Tidak kurang daripada 30 tahun kami mengenali antara satu sama lain. Bukan sahaja untuk bidang politik tetapi juga sebagai sahabat.
"Saya dan Wanita UMNO amat terasa dengan kehilangan beliau. Kami berdoa rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman," katanya.
Bagi pihak Wanita UMNO, Shahrizat mengucap takziah kepada semua keluarga nahas.
Empat lagi mangsa nahas ialah juruterbang Kapten Clifford William Fournier; pembantu operasi Aidana Baizieva; pengawal peribadi Razakan B Seran; dan ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang.
#Jamaluddin Jarjis #Ketua Pergerakan Wanita UMNO #Najib Razak #Shahrizat Abdul Jalil
;