Jaga, hormati sensitiviti agama dan budaya Malaysia - Aaron
Farhan Hakimi
Mac 4, 2025 12:50 MYT
Mac 4, 2025 12:50 MYT
Menurut Aaron, sebagai sebuah negara yang majmuk, masyarakat perlu memupuk semangat saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Masyarakat disaran untuk sentiasa menjaga dan menghormati sensitiviti agama dan budaya yang ada di Malaysia, kata Datuk Aaron Ago Dagang.
Menurut Menteri Perpaduan Negara itu, sebagai sebuah negara yang majmuk, masyarakat perlu memupuk semangat saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.
Beliau berkata, sebarang perbuatan yang menyinggung perasaan agama lain tidak sepatutnya diterima dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Justeru, Aaron mengingatkan supaya semua pihak untuk tidak mencetuskan ketegangan atau perasaan benci antara penganut agama.
Tegasnya, setiap tindakan yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian negara harus dipandang serius.
Kenyataan Menteri Perpaduan itu dikeluarkan susulan tindakan sebuah stesen radio mempersenda upacara agama lain menerusi sebuah video yang dimuat naik di platform media sosial baru-baru ini.
Susulan itu, Aaron mengutuk segala bentuk kelakuan yang mempersenda atau menghina mana-mana agama termasuk agama Hindu.
Kata beliau lagi, tindakan sedemikian jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukun Negara yang menjadi asas negara ini.
Dalam masa sama, beliau menyeru agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk bertindak mengikut peruntukan yang ada di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi memastikan sebarang penyebaran kandungan yang mempersenda atau menghina agama di media massa dikenakan tindakan yang sewajarnya.