Jaga diri, jangan cari pasal dengan kumpulan kongsi gelap - Pakar
Dania Zainuddin
Julai 31, 2016 23:36 MYT
Julai 31, 2016 23:36 MYT
Orang ramai diingatkan menjaga diri serta menjauhi dari perkara yang boleh memberi risiko kepada keselamatan seperti menjadi ahli kongsi gelap atau meminjam duit dari 'ah long' untuk mengelak daripada menjadi mangsa bunuh.
"Ada antara kita yang menyertai geng kongsi gelap ataupun meminjam duit dari 'ah long', itu semua tindakan mencari nahas," kata Pakar Kriminologi, Datuk Akhbar Satar dalam satu temubual bersama Astro AWANI hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai pendedahan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengenai kewujudan kumpulan pembunuh upahan yang terdiri daripada warga tempatan.
Keadaan itu diburukkan lagi dengan lambakan senjata api yang semakin tinggi di dalam negara.
Bagaimanapun, Datuk Akhbar berkata setakat ini pembunuh upahan di dalam negara masih bertaraf semi professional.
"Tembakan semi pro ini biasanya berlaku di tepi jalan, lampu isyarat atau di dalam kedai, dan biasanya lokasi ini ada kamera litar tertutup, CCTV dan juga ada saksi.
"Jadi saya pasti pihak polis dapat menjejaki mereka dengan mudah kerana mereka bukan professional," kata Datuk Akhbar.
Meskipun begitu, beliau menegaskan bahawa pasukan risikan perlu mengenal pasti sindiket, gangster atau mafia di negara kerana kumpulan terbabit mungkin ada kaitan dengan aktiviti pembunuh upahan.