"Jaga adik-adik, keluarga" - Pesanan akhir Rozaid kepada anak sulung

Bernama
Ogos 19, 2024 15:30 MYT
Roz Ariffin menyiram air ke atas pusara bapanya, Rozaid Abdul Rahman, selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya, hari ini. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: "Jaga adik-adik, pastikan keluarga sentiasa berada dalam keadaan baik," itu pesanan terakhir Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO) Allahyarham Rozaid Abdul Rahman kepada anak sulungnya, Roz Ariffin, 33.
Roz Ariffin berkata pemergian ayahnya mengejutkan memandangkan Allahyarham berada dalam keadaan baik dan mengambil ubat seperti diarahkan pakar perubatan.
"Hari ini sepatutnya arwah ada pemeriksaan kesihatan di hospital," katanya kepada pemberita selepas jenazah Rozaid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini hari ini.
Rozaid menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, petang semalam akibat masalah jantung pada usia 59 tahun.
Allahyarham sebelum itu menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, sejak 1 Julai lepas dan dibenarkan keluar dari hospital pada 6 Ogos.
Beliau meninggalkan seorang balu dan tujuh cahaya mata berusia dari 17 hingga 33 tahun.
Sementara itu, para petugas di Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO menyifatkan pemergian Rozaid seperti kehilangan seorang bapa yang sebelum ini sentiasa ada untuk membimbing mereka.
Berkongsi mengenai keperibadian Allahyarham, Pegawai Penerangan Muhammad Izzuddin Jamalie berkata Rozaid sosok yang sangat dihormati sehinggakan petugas di PMO memanggil beliau dengan gelaran 'bapa'.
"Allahyarham seorang ketua yang tegas tetapi sentiasa menggunakan nada lembut, sebab itu kami panggil dia bapa," katanya.
Muhammad Izzuddin berkata apa yang pasti PMO kehilangan seorang pemimpin yang menjadi sumber inspirasi dan panduan kepada mereka dalam melaksanakan tugas kepada negara.
Rakan setugasnya, Amirul Aliif Nasaruddin pula berkata Allahyarham ketika dirawat di hospital sempat meluahkan bahawa masih ada tugas yang perlu diselesaikannya selagi masih berkhidmat.
"Kami pun sentiasa tunggu bapa balik sebab walaupun di hospital beliau masih fikirkan lagi hal yang berkaitan dengan kerja
"Kami sentiasa menyokong beliau kerana selain daripada seorang ketua, Allahyarham umpama seorang bapa yang kami hormati. Ketiadaan beliau pasti akan kami rindui," katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata pemergian Rozaid merupakan kehilangan besar buat Kerajaan Perpaduan kerana beliau sentiasa komited memastikan agenda kerajaan difahami rakyat.
"Beliau begitu komited memastikan bahawa segala berita dan naratif dibawa kerajaan MADANI disampaikan dengan baik...insya-Allah dari sudut lain kita akan cuba sedaya upaya bantu keperluan keluarga beliau dan didoakan semoga Allahyarham dapat tempat di sisi Allah SWT," katanya.
-- BERNAMA
#Rozaid Abdul Rahman #meninggal dunia #media strategik #PMO
;