Jaga adab ketika berbahas - Sultan Johor
Astro Awani
Jun 27, 2019 14:00 MYT
Jun 27, 2019 14:00 MYT
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor supaya menjaga adab ketika berbahas di sidang Dewan Negeri.
Titah itu disampaikan baginda ketika merasmikan pembukaan penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke-14 di bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini hari ini.
Baginda juga bertitah supaya mengelakkan bercakap mengenai isu politik atau perkara sensitif berkaitan kaum dan agama.
Titah baginda kepada semua Ahli Dewan supaya menjaga tingkah laku dan tata tertib pakaian ketika berada di dalam Dewan serta patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan.
Sultan Ibrahim juga bertitah supaya setiap wakil rakyat menunaikan tanggungjawab membawa suara dan kehendak rakyat dan bukan bersuara serta bertindak untuk kepentingan diri sendiri.
“Setiap wakil rakyat kerajaan haruslah memberikan pandangan baik dan sokongan padu dalam membantu menteri besar dan barisan pentadbirannya, bukan bertindak sebaliknya untuk memecah-belahkan kerajaan atau menjadi gunting dalam lipatan," titah baginda.
Dalam ucapan titahnya, baginda turut menyeru kepada Kerajaan Negeri supaya berusaha keras menarik lebih banyak pelabur terutama dari luar negara kerana dasar kerajaan yang konsisten adalah perkara penting untuk menggalak dan mengekalkan pelaburan jangka panjang di Johor.
#Dewan Undangan Negeri Johor
#DUN
#kerajaan
#menteri
#Menteri Besar
#pelaburan
#politik
#Sultan Ibrahim
#Sultan Johor