Jadual padat menanti Tun M, pemimpin lain pada hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN
Najib Aroff
November 3, 2019 08:46 MYT
November 3, 2019 08:46 MYT
Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 dan Sidang Berkaitan di Bangkok, Thailand memasuki hari kedua dengan jadual semakin padat buat pemimpin ASEAN dan luar yang terlibat.
Acara akan dimulakan dengan pembukaan rasmi yang turut disertakan dengan penyerahan anugerah ASEAN Prize.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menghadiri tiga sidang kemuncak iaitu Sidang Kemuncak ASEAN–China, Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan Sidang Kemuncak ASEAN-India.
Dr Mahathir juga dijangka menghadiri mesyuarat bilateral bersama rakan sejawat dari New Zealand Jacinda Ardern pada sebelah petang, sebelum ke Makan Malam Gala Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 dan Sidang Berkaitan.
Pada Sabtu, Perdana Menteri bertemu dengan rakan sejawat dari Thailand, Prayut Chan-o-cha dalam satu mesyuarat bilateral.
Pertemuan selama 45 minit itu membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama, termasuk usaha mengukuhkan kerjasama ekonomi.
Prayut yang baru diundi menjadi Perdana Menteri pada pilihan raya umum Jun lalu turut menyatakan sokongan terhadap industri minyak sawit Malaysia.
Sementara itu, sesi plenari yang bermula Sabtu akan diteruskan hari ini dengan pelbagai isu serantau dijangka disentuh.
Ia termasuk isu-isu mendesak seperti krisis pelarian Rohingya, Perang Dagang Amerika dan China, Hubungan tegang Korea Selatan dan Jepun, ketegangan di Laut China Selatan, perubahan iklim, dan reformasi Organisasi Dagangan Dunia.
#ASEAN Prize
#Jacinda Ardern
#krisis pelarian Rohingya
#Mahathir Mohamad
#minyak sawit
#Prayut Chan-O-Cha
#Sidang Kemuncak ASEAN
#Sidang Kemuncak ASEAN China
#Sidang Kemuncak ASEAN-India
#Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu