Jadual padat menanti PM Anwar pada hari terakhir lawatan kerja di China
Hasimi Muhamad
November 6, 2024 07:10 MYT
November 6, 2024 07:10 MYT
SHANGHAI: Jadual padat menanti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari terakhir lawatan kerja ke China, hari ini.
Beliau yang tiba di Beijing pada petang Rabu selepas tiga hari berada di Shanghai, dijadual memulakan siri rangka lawatan kerja dengan mengadakan mesyuarat perniagaan bersama China International Capital Corp (CCCC) sekitar pukul 9 pagi.
Sejurus selepas itu, Perdana Menteri dijadual mengunjungi Huawei Executive Briefing Centre dan menyertai mesyuarat peringkat tinggi dengan eksekutif kanan Huawei.
Beliau turut akan menyampaikan syarahan terbuka bertajuk “Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order” di Universiti Peking.
Pada sebelah petang, Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual mengadakan sidang akhbar bersama delegasi media Malaysia sempena lawatan kerjanya ke China.
Kemuncak kepada lawatan kerja di republik itu ialah Anwar akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China, Xi Jinping di The Great Hall of People kira-kira pukul 5.30 petang.
Sesi kunjungan hormat dijadual berlangsung selama 40 minit sebelum Xi menganjurkan majlis makan malam kepada Perdana Menteri.
Sebelum ini, Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad berkata majlis makan malam yang dihoskan oleh Xi merupakan satu penghormatan besar buat Anwar dan delegasi Malaysia.
Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke Kuala Lumpur sekitar pukul 8 malam, waktu tempatan.
Lawatan kerja Anwar ke China dari 4 hingga 7 November adalah yang ketiga sejak beliau menjawat jawatan Perdana Menteri, dan ia atas jemputan rakan sejawatnya Li Qiang bagi menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh (CIIE ke-7) di Shanghai.
Anwar diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
CIIE merupakan inisiatif Kerajaan China yang menyediakan satu platform untuk negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan bagi mempromosi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke China.