Jadual padat menanti PM Anwar di Tokyo, jumpa PM Kishida

Bernama
Disember 16, 2023 09:10 MYT
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika tiba bersama isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di hotel di Tokyo, Jepun. - Foto BERNAMA
TOKYO: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tiba di Tokyo pada Jumaat untuk lawatan kerja lima hari, akan mengadakan mesyuarat bersama rakan sejawat Fumio Kishida, di pejabat beliau kira-kira jam 11 pagi (waktu tempatan) pada Sabtu.
Jadual pergerakan yang dikongsikan Pejabat Perdana Menteri dengan media Malaysia di sini menunjukkan jadual yang padat menanti Anwar, bermula dengan mesyuarat pre-council bersama delegasi Malaysia pada 10 pagi di Hotel Imperial Tokyo di sini, sebelum bertemu Kishida.
Selepas mesyuarat dua hala itu, Anwar dan Kishida dijadualkan untuk menyaksikan Pertukaran Nota Pelaksanaan bagi Program Peningkatan Kapasiti Keselamatan dan Memorandum Kerjasama mengenai Pembangunan dan Aplikasi Angkasa Lepas, antara kedua-dua negara.
Anwar dan delegasi akan bergerak semula ke hotel yang sama pada 12.30 tengah hari, untuk makan tengah hari bersama Pengerusi Kehormat Sasakawa Peace Foundation Tan Sri Sasakawa Yohei.
Anwar bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail seterusnya dijadualkan menghadiri majlis makan malam pada 7 petang dihoskan oleh Kishida dan isterinya Yuko di Geihinkan, State Guesthouse Akasaka Palace.
Pada majlis makan malam itu, Anwar akan turut disertai dua menteri kabinet iaitu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #lawatan rasmi #Fumio Kishida #mesyuarat pre-council
;