Jadual padat menanti Perdana Menteri di Sidang Kemuncak Asean ke-35
Najib Aroff
Oktober 31, 2019 17:29 MYT
Oktober 31, 2019 17:29 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mempunyai jadual padat sepanjang berlangsungnya Sidang Kemuncak Asean ke-35 di sini.
Menurut Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel, Perdana Menteri dijadual menghadiri lapan Sidang Kemuncak termasuk Sidang Kemuncak Asean dan sidang berkaitan bermula 2 November dan dua mesyuarat bilateral bersama Thailand serta Australia.
“Sidang Kemuncak Asean ke-35 memberi peluang kepada para Pemimpin Asean untuk menilai semula dan mengkaji isu-isu semasa dan agenda Komuniti Asean,” katanya kepada wartawan Malaysia dalam sidang media hari ini.
Selain Sidang Kemuncak Asean, Sidang Kemuncak berkaitan merangkumi Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-22; Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-16; Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-10; Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (APT) ke-22; Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-7; Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-14; Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-22; dan Sidang Kemuncak RCEP ke-3.
Perdana Menteri juga dijangka mengadakan pertemuan bilateral dengan rakan sejawat dari Thailand, Prayut Chan-o-cha dan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison.
“Agenda-agenda utama mesyuarat ini adalah bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala dan isu-isu serantau dan antarabangsa,” tambah beliau.
Antara acara utama melibatkan Perdana Menteri termasuk Sesi Pleno Sidang Kemuncak Asean ke-35 membincangkan agenda memperkukuh kerjasama bagi kemampanan dan hubungan luar serta hala tuju masa hadapan Asean termasuk isu-isu serantau dan antarabangsa.
Selain itu Perdana Menteri akan menghadiri Sesi Dialog pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Asean 2019 (ABIS 2019) di pusat Pusat Pameran IMPACT.
Dr Mahathir juga akan menghadiri kesemua Sidang Kemuncak Asean bersama China, India, Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Jepun dan Sidang Kemuncak Asia Timur selain Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Perdana Menteri akan ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.
Dr Mahathir dijangka tiba di Bangkok pada 1 November dan pulang ke tanah air pada 5 November.
Sidang Kemuncak Asean ke 35 akan menyaksikan 43 dokumen hasil yang akan diambil maklum, dikeluarkan serta diperakukan.
Daripada jumlah itu, 13 dokumen akan dikeluarkan, 14 dokumen diperakukan dan 16 dokumen diambil maklum.