Jadual Cub Prix Malaysia mungkin terjejas jika kes COVID-19 meningkat

Bernama
April 25, 2021 11:49 MYT
Shahrol Yuzy berharap rakyat Malaysia dapat terus mematuhi SOP bagi mengekang penularan wabak COVID-19. - Foto fail
SEPANG: Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PSBWPKL) bimbang Kejuaraan Cub Prix Malaysia pusingan ketiga yang dijadual berlangsung pada 22 hingga 23 Mei ini akan terjejas sekiranya kes COVID-19 di negara ini terus meningkat.
Presidennya, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berkata selain itu, jika kes jangkitan terus menunjukkan peningkatan, ia juga mungkin menjejaskan penganjuran pusingan-pusingan seterusnya dengan yang terakhir dijadual pada Disember nanti.
"Apa pun saya dan pihak PSBWPKL agak lega kerana dua pusingan perlumbaan Cub Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah pun berlangsung pada 20 hingga 21 Mac dan 3 hingga 4 April lepas," katanya pada majlis berbuka puasa PSBWPKL di Paddock Chalet, SIC di sini, malam tadi.
Tujuh lagi pusingan Cub Prix yang dijadualkan adalah pusingan keempat pada 26 hingga 27 Jun, pusingan kelima (9 hingga 10 Julai), pusingan keenam (7 hingga 8 Ogos), pusingan ketujuh (4 hingga 5 September), pusingan kelapan (9 hingga 10 Oktober), pusingan kesembilan (13 hingga 14 November) dan pusingan terakhir pada 18 hingga 19 Disember.
Selain itu, Shahrol Yuzy berkata PSBWPKL akan menganjurkan dua pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada Jun ini di SIC.
"Pelumba dari pelbagai negara seluruh Asia akan datang ke Malaysia kerana kerajaan telah membenarkan 'bubble sport race' tetapi kami tetap risau jika kes terus meningkat acara ini akan terjejas," katanya.
Sehubungan itu, Shahrol Yuzy berharap rakyat Malaysia dapat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 agar semua kejohanan sukan di Malaysia dapat dijalankan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
-- BERNAMA
#motosikal #Cub Prix #COVID-19 #tangguh #shahrol yuzy ahmad zaini
;