Jadilah kerajaan berkualiti, lanjutkan moratorium tiga bulan lagi - Anwar Ibrahim
Firdaus Azil
Oktober 22, 2020 16:14 MYT
Oktober 22, 2020 16:14 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan harus menonjolkan kepimpinan yang punya kualiti dengan melanjutkan moratorium pinjaman untuk tiga bulan lagi, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan yang diedarkan hari ini, Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, langkah tersebut diperlukan bagi memastikan kemampanan sektor ekonomi terutamanya di Lembah Klang selepas kerajaan mengambil keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Anwar mendakwa, rakyat dilihat masih belum jelas soal stategi kerajaan dalam menangani kemelut ini dan
tentang bagaimana harus dibangunkan semula ekonomi.
"Apa yang disajikan kepada rakyat adalah arahan atau panduan yang bertembung, termasuk amalan antara dua darjat dalam pelaksanaan hukuman.
"Arahan bekerja dari rumah baru-baru ini ternyata tidak masuk akal apabila ia hanya mengarahkan staf-staf untuk bekerja dari rumah, manakala yang berada di bahagian operasi yang terdiri dari mereka yang berpendapatan rendah dikehendaki untuk bekerja seperti biasa," ulasnya lagi.
Pada 20 Oktober lepas, kerajaan mengumumkan bahawa pekerja sektor awam dan swasta di peringkat pengurusan dan pengawasan di kawasan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diarahkan bekerja dari rumah dan tidak perlu hadir ke pejabat.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan tersebut mula berkuatkuasa 22 Oktober (hari ini) dan hanya akan tamat apabila pelaksanaan PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah berakhir.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau bingung bagaimana langkah itu dapat membantu aspek kesihatan awam dengan hanya mengorbankan pekerja kolar biru.
Kata Ahli Parliment Port Dickson itu lagi, perubahan di saat akhir, termasuk arahan yang melibatkan pekerja sektor awam dan sektor yang di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dilihat menambah rumit orang ramai serta membazir masa.
"Kita perlukan kerajaan yang telus dan informatif, terutamanya melibatkan dasar yang jelas dalam mendepani kemelut. Ia tidak membina keyakinan, samada domestik ataupun kepada para pelabur luar apabila kenyataan-kenyataan penting dibuat tanpa kajian yang menyeluruh.
"Meski kerajaan mengumumkan bahawa aktiviti ekonomi dibenarkan, namun panduan terkini ternyata akan memberi dampak pada perniagaan, terutamanya kepada mereka yang kini sedang bergelut dalam sektor peruncitan.
"Menurut Retail Group Malaysia (RGM), kira-kira 51,000, iaitu sebanyak 15% dari jumlah keseluruhan industri di Malaysia tidak mampu bertahan lebih dari empat atau lima bulan mendatang," katanya lagi.
Justeru, Anwar berkata, dengan pelanjutan moratorium, ia setidak-tidaknya dapat memberi nafas kelegaan kepada rakyat, terutamanya mereka yang terkesan secara langsung akibat pelaksanaan PKPB itu.
#Anwar Ibrahim
#Moratorium
#lanjutan moratorium
#Pakatan Harapan
#perintah kawalan pergerakan
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#ismail sabri yaakob
#MITI
#Putrajaya
#Klang
#pembangkang
#kerajaan
#COVID-19