Jadikan universiti pusat percambahan pemikiran masyarakat - Hilman UKM4

Wan Syamsul Amly
Disember 16, 2014 14:00 MYT
HILMAN: Jadikan universiti pusat percambahan pemikiran masyarakat - Gambar fail
Universiti harus menjadi pusat percambahan pemikiran yang bebas dan kritis sama ada melalui wacana, forum atau protes bukan hanya untuk mahasiswa tetapi keseluruhan masyarakat.
Wakil empat aktivis mahasiswa daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM4) yang pernah mencabar Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Muhamad Hilman Idham berkata, apa yang berlaku kepada Universiti Malaya (UM) pernah berlaku di UKM pada tahun 2010.
"Pada masa itu Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengepung para mahasiswa di Masjid UKM yang mengadakan protes berikutan penyelewengan kepincangan pilihan raya kampus.
"Kes UM8 berpunca daripada kampus UM yang dipagari tembok dan pagar yang dikawal pihak Polis.
"'Kepung' dan 'pagar' ini adalah bukti institusi pengajian tinggi di Malaysia ini tidak punya kebebasan; baik kebebasan akademik, kebebasan berfikir, kebebasan untuk menyatakan pandangan," katanya ketika dihubungi di sini.
Hilman mengulas solidariti bersama lapan pelajar UM (UM8) yang terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram pada Oktober lepas.
Menurut UM8, tindakan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UM dilihat tidak wajar kerana menyalahi kebebasan AUKU Seksyen 15 berhubung kebebasan penglibatan pelajar dalam politik.
Jelas Hilman lagi, fungsi universiti sebagai pusat percambahan pemikiran juga dilihat paling relevan kerana pembentukan masyarakat dipengaruhi oleh universiti sendiri.
"Apa yang berlaku kepada UM8 adalah malapetaka kepada sistem pendidikan negara. Tetapi ia adalah peluang kepada pergerakan mahasiswa hari ini.
"Saya yakin dan optimis, mahasiswa hari ini cukup yakin dan berani. Perjuangan ini tidak akan terhenti dan mereka akan lawan sampai menang," jelasnya.
Selain Hilman, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adzha turut bersama di dalam kumpulan aktivis UKM4.
#AUKU #FRU #hilman #mahasiawa #ukm4 #UM8 #universiti
;