Jadikan tadarus al-Quran program rutin bukan sahaja di bulan Ramadan
Bernama
Mac 27, 2024 09:52 MYT
Mac 27, 2024 09:52 MYT
KUALA LUMPUR: Peristiwa Nuzul Quran yang berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan bersamaan tanggal 6 Ogos tahun 610 Masihi ketika Nabi Muhammad SAW sedang beribadat di Gua Hira adalah detik penting turunnya ayat pertama al-Quran kepada baginda Rasulullah.
'Nuzul' perkataan bahasa Arab bermaksud turun dan lima ayat Surah al-Alaq diturunkan oleh Allah SWT kepada baginda Rasulullah melalui Malaikat Jibril, menekankan peri pentingnya membaca dan belajar pelbagai ilmu supaya dapat menghapuskan kejahilan dalam kalangan manusia.
Penurunan ayat al-Quran ini kemudiannya berterusan secara berperingkat-peringkat sehingga lengkap keseluruhan 30 juzuk yang mengambil masa selama 23 tahun. Maka tidak hairanlah pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, ramai yang bertadarus al-Quran (majlis membaca al-Quran secara berkumpulan) termasuk di masjid dan surau.
Namun bukan semua orang mampu menghadirinya disebabkan pelbagai kekangan termasuk tuntutan pekerjaan. Oleh itu, apakah kaedah terbaik bagi kita mencari masa dan meluangkan waktu yang ada demi terus membaca dan mentaddabur (perenungan yang menyeluruh untuk mengetahui maksud dan makna) al-Quran?
JADIKAN KEUTAMAAN
Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia Dr Muhammad Hafiz Saleh ketika berkongsi pandangannya berkata, umat Islam seharusnya berusaha 'mencuri' masa yang ada untuk mula membaca kitab suci itu, berbanding hanya menunggu masa lapang yang sesuai untuk melakukannya.
Menurut beliau, seandainya pembacaan al-Quran itu dijadikan sebagai sesuatu yang perlu diutamakan dalam kepadatan jadual, sudah pasti Allah SWT akan membukakan jalan yang luas untuk memudahkan urusan harian yang lain.
"Mengambil hikmah serta pedoman daripada asbab penurunan al-Quran secara berperingkat selama 23 tahun itu, kita dapat melihat betapa Rasulullah sangat bersabar ketika dibacakan ayat-ayat al-Quran oleh Malaikat Jibril dan seterusnya sanggup pula meluangkan masa demi mengajarkannya kepada para sahabat Baginda.
"Demi menghargai jasa besar Rasulullah dan para sahabatnya, kita perlulah memanfaatkan kitab suci ini dengan menjadikannya sebagai sumber motivasi diri. Lihatlah betapa besar ujian dihadapi para nabi dan rasul terdahulu, namun semuanya tetap dihadapi dengan tenang dan penuh taqwa (ketakutan kepada Allah).
"Sama juga seperti apa yang kita lalui pada zaman sekarang, biarpun banyak liku perlu ditempuh, namun berkat ketaqwaan dan yakin kepada-Nya menerusi usaha kita memperbanyakkan bacaan al-Quran, maka pasti Allah akan tunjukkan solusi yang didambakan pada masa yang tidak disangka-sangka," jelasnya lagi.
Beliau menambah, sekiranya umat Islam mentaddabur kisah ujian Nabi Yunus yang ditelan ikan paus di tengah lautan sehingga menjadi buntu, namun berkat kesabaran dan doa tidak putus-putus kepada Allah maka baginda akhirnya berjaya diselamatkan oleh Allah.
"Kisah-kisah penuh inspirasi sebegini hanya dapat kita ketahui sekiranya kita tetap rajin menelaah dan membaca al-Quran. Oleh itu marilah kita berusaha untuk membaca dan merenung makna al-Quran setiap hari, walaupun hanya untuk beberapa minit. Ia adalah cara paling ampuh untuk berhubung dengan Allah serta mencari bimbingan-Nya dalam hidup kita," nasihatnya.
Beliau menambah, amatlah rugi mereka yang membaca al-Quran namun tidak berusaha memahami kandungannya, sepertimana firman Allah dalam surah Muhammad, ayat 24 yang bermaksud "Adakah manusia sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?"
WUJUDKAN 'GENG AL-QURAN'
Satu lagi kaedah yang boleh difikirkan untuk menarik lebih ramai umat Islam membaca dan menghayati al-Quran adalah menerusi usaha semua pihak mewujudkan satu gerakan yang dapat menghimpunkan orang ramai membaca al-Quran.
Menurut Muhammad Hafiz, gerakan sebegini boleh diambil inspirasinya berdasarkan gerakan 'geng solat Subuh macam solat Jumaat' yang cukup viral dan diusahakan oleh seorang artis terkemuka tanah air, malahan sehingga kini ianya diikuti kebanyakan masjid di seluruh negara. Terdahulu, ada juga program seperti Quran Time dan World Quran Hour dianjurkan yang juga mendapat sambutan menggalakkan oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Oleh itu, beliau berpandangan, usaha mewujudkan program 'Geng al-Quran' mampu menjadi gelombang kebaikan yang bermanfaat untuk semua pihak, namun untuk merealisasikannya pasti cukup mencabar.
"Dalam hal ini, kita perlukan gerak kerja yang cukup strategik. Pihak institusi masjid dan surau di kawasan perumahan mahupun pejabat khususnya perlu bekerjasama dengan golongan pendakwah untuk mula mengajak orang ramai menyertainya.
"Bukan itu sahaja, golongan pempengaruh media sosial, artis dan pihak media juga perlu turut terlibat mempromosikan program ini supaya dapat menarik ramai umat Islam untuk sama-sama membaca dan mentaddabur al-Quran.
Menurut beliau, taddabur al-Quran seeloknya dilakukan secara beramai-ramai dan perlulah dipimpin oleh mereka yang mahir ilmu al-Quran, supaya maksud dan isi kandungannya mampu dihayati dengan baik oleh peserta program.
PERLU BERSATU
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perniagaan Islam Universiti Utara Malaysia Dr Mohd Murshidi Mohd Noor turut bersetuju dengan penganjuran program sebegini dan berpandangan, sesiapa sahaja yang memulakannya dan dia sendiri turut mengamalkannya, maka dia akan mendapat pahala sekiranya orang lain juga menuruti amalan tersebut.
Beliau mengakui bukan mudah untuk menggalakkan orang ramai rajin membaca al-Quran melainkan apabila amalan itu dilakukan secara terbuka dan berkumpulan, yang dengan sendirinya tentu dapat menarik perhatian orang lain untuk turut melakukan perkara yang sama.
"Kekuatan akan diperoleh apabila dilakukan secara berjemaah. Hal ini kerana kita berada pada zaman ramai orang suka melakukan perkara mungkar secara terang-terangan. Bagi membanteras perkara itu daripada berleluasa, maka amalan baik perlu dilakukan secara terbuka dan berjemaah.
"Dalam hal ini, mungkin penganjur program boleh berbincang dan mendapatkan pandangan ramai tentang masa paling sesuai untuk melaksanakannya. Jika contoh di surau pejabat, antara masa paling produktif adalah beberapa minit sebelum azan solat zuhur. Di masjid dan surau perumahan pula sebagai contoh boleh dilakukan pada waktu selepas solat jemaah," cadangnya.
JANGAN SUAM-SUAM KUKU
Sementara itu Muhammad Hafiz pula berkata, aktiviti tadarus al-Quran seharusnya bukan bermusim dan hanya rajin dilakukan tatkala masuk bulan Ramadan, namun perlu dijadikan sebagai program rutin bagi terus meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT.
Antara sebab mengapa ia sering dilihat sebagai aktiviti bermusim adalah kerana kebanyakan program tadarus lazimnya dibuat pada bulan puasa dan jarang dilakukan pada bulan-bulan yang lain.
"Oleh itu, semua pihak perlu memastikan program tadarus al-Quran sebegini mampu dijalankan setiap hari jika mampu. Perlu kita yakin bahawa tadarus secara beramai-ramai sebenarnya adalah latihan dan proses pembelajaran sepanjang hayat.
"Perlu juga kita rajinkan diri untuk membaca dan menghayati hadis berkaitan kelebihan membaca surah-surah al-Quran. Contohnya membaca surah al-Ikhlas sekali adalah bersamaan pahala membaca satu pertiga al-Quran," jelasnya menambah, pembacaan hadis sebegini mampu meningkatkan rasa membuak-buak untuk terus rajin membaca al-Quran.
Bagi Mohd Murshidi pula, aktiviti tadarus al-Quran sebegini juga adalah bukti umat Islam mampu bersatu padu, dan semangat ini amat diperlukan memandangkan adakalanya agama Islam menghadapi ujian provokasi daripada pelbagai pihak tidak bertanggungjawab.
Bersempena dengan sambutan Nuzul Quran juga, pengajaran yang terdapat di dalam al-Quran perlulah dihayati dengan sebaik-baiknya. Al-Quran menggesa kita semua agar bersatu padu, berdamai, serta mengelak daripada pergaduhan.
"Apabila berlaku sesuatu provokasi, teruskan bersatu dan rujuklah kepada pihak yang lebih berautoriti. Pihak berautoriti pula perlu menjalankan amanah sebaik-baiknya, mendengar segala rintihan masyarakat setempat, serta segera mengambil tindakan sewajarnya apabila timbul isu-isu yang menggugat keharmonian umat Islam di Malaysia," tegas beliau lagi.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff
-- BERNAMA