Jadikan perayaan, budaya yang pelbagai pengikat persaudaraan rakyat - PM Anwar

Bernama
April 30, 2023 17:55 MYT
Anwar berkata setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan memastikan nilai kepelbagaian terus utuh dengan kasih sayang. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu perayaan dan budaya yang pelbagai di negara ini menjadi ciri utama yang mengikat persaudaraan seluruh lapisan masyarakat rakyat Malaysia.
Anwar menerusi catatan di Facebook selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Sabah di Kota Kinabalu hari ini berkata setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan memastikan nilai kepelbagaian terus utuh dengan kasih sayang.
"Tugas kita adalah memastikan nilai kebhinekaan (kepelbagaian) ini mesti terus utuh dengan kasih sayang dan sikap keprihatinan yang tinggi," kata beliau.
Perdana Menteri juga mahu masyarakat terus menyemarakkan cahaya dan nilai murni Aidilfitri sepanjang Syawal yang sedang diraikan.
Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datuk Seri Juliah Salag selain lebih 20,000 tetamu.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #mengikat persaudaraan #rakyat Malaysia #perayaan
;