Jadikan peniaga, pengusaha rakan PH - Dr Mahathir
Wan Syamsul Amly
Februari 28, 2019 18:29 MYT
Februari 28, 2019 18:29 MYT
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengubah mentaliti dan menjadikan pengusaha serta peniaga yang dianggap kapitalis sebelum ini sebagai rakan.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan juga tidak boleh mengecam sistem kapitalis kerana sistem itu yang memberi kekayaan dalam bentuk cukai kepada negara.
"Kita sebagai kerajaan tidak boleh macam parti lawan, kita tidak boleh kecam peniaga kerana kita hendak cukai.
"Pertukaran mesti dilakukan dan menganggap peniaga serta pengusaha sebagai rakan kita, dan tolong mereka supaya berjaya dalam perniagaan.
"Kita dapati rata-rata belum dapat menjalin sikap baik dengan peniaga. Ada sesetengah pemimpin anggap peniaga ini kapitalis, tindas rakyat dan sebagainya. Kalau tidak ada perusahaan, kejayaan untuk mengumpul keuntungan besar dan tidak dapat kutip cukai daripada mereka," katanya semasa berucap pada Sesi Pemukiman Kerajaan Negeri Johor bersama kepimpinan Kerajaan Persekutuan di sini, pada Khamis.
Jelas Dr Mahathir lagi, keuntungan cukai adalah sebanyak 26 peratus dan dibayar dalam bentuk cukai korporat.
Dalam perkembangan berasingan, Dr Mahathir memberitahu, penghapusan tol tidak semudah desakan dibuat semasa mereka menjadi pembangkang.
Jelasnya, laluan itu memerlukan kutipan tol untuk menampung kerja pembaikan dan urusan penyelenggaraan jalan.
Pejabat Perdana Menteri pada dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata kerajaan akan mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang yang dikendalikan syarikat konsesi Gamuda Berhad.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa kaedah kutipan tol sedia ada akan digantikan kepada satu kaedah baharu dengan kadar yang lebih rendah.
Kaedah kutipan tol baharu itu akan dilaksanakan mengikut tiga pecahan masa iaitu waktu puncak, waktu biasa dan waktu bukan puncak.
Empat lebuh raya terbabit adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART, yang dipegang secara majoriti oleh Gamuda.
#cukai
#kerajaan
#Kuala Lumpur
#Mahathir Mohamad
#Pakatan Harapan
#pembangkang
#peniaga
#Perdana Menteri
#rakyat