Jadikan pencen veteran ATM sebagai permulaan kerjaya baharu - Khaled Nordin
Bernama
Februari 8, 2025 16:40 MYT
Februari 8, 2025 16:40 MYT
Mohamed Khaled (kanan) beramah mesra dengan veteran ATM yang menerima cek ganjaran pada Majlis Penyampaian Cek Ganjaran Hilang Upaya Veteran ATM di Bangunan UMNO Bahagian Muar hari ini. - Bernama
MUAR: Pencen yang diberikan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan bertujuan menampung saki baki kehidupan, sebaliknya untuk mereka memulakan kehidupan baharu menerusi kerjaya kedua.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini kerana majoriti mereka berpencen pada usia muda iaitu sekitar 42 tahun dan masih bertenaga untuk mempelajari ilmu baharu atau memulakan perusahaan sendiri.
"Kerajaan sedang memberikan tumpuan terhadap perkara ini, supaya apabila mereka masuk umur berpencen, mereka boleh dapat pekerjaan yang baik, sesuai dan munasabah. Kita tidak mahu mereka hanya bergantung kepada pencen semata-mata.
"Sebaliknya kita mahu pastikan veteran yang baru berpencen ini dapat dikurangkan jurang pendapatan antara mereka menerusi pekerjaan baharu atau employability mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Cek Ganjaran Hilang Upaya (GHU) Veteran ATM di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Mej Jen Datuk Semaon Marjuki.
Mohamed Khaled berkata setakat ini lebih 300 anggota ATM telah memohon menyambung pengajian diploma menerusi Program Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) dalam usaha meningkatkan kerjaya serta kesejahteraan hidup selepas tamat perkhidmatan.
"Kita bersyukur kerana kerajaan telah memperuntukkan buat pertama kali tahun ini sebanyak RM3 juta untuk membiayai kos WBL dengan setiap seorang lebih kurang RM6,000 kerajaan bayarkan," katanya.
Beliau berkata setakat ini antara universiti terlibat dengan WBL ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) serta Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
"Kita mahu pekerjaan atau kemahiran mereka diiktiraf, sekiranya dahulu dia masuk tentera dengan SPM tetapi kini keluar ada diploma. Jadi tahap kebolehpasaran lebih baik, lebih mudah dapat kerja dengan gaji yang setimpal," tambahnya.
Terdahulu, Mohamed Khaled menyampaikan faedah GHU kepada tujuh veteran ATM dan bungkusan kotak cakna kepada sembilan veteran ATM yang antaranya mengalami masalah pendengaran, pertuturan, kemalangan dalam perkhidmatan, uzur, sakit jantung, Veteran Kurang Upaya (VKU) dan menjaga anak Orang Kurang Upaya (OKU).
Seorang penerima GHU yang juga bapa tunggal enam anak, Kpl Abu Bakar Khamis, 79, yang mengalami kecederaan tangan kiri dan paha kanan akibat terkena tembakan ketika serang hendap komunis berkata, beliau gembira dan bersyukur apabila menerima inisiatif berjumlah RM42,000 itu.
"Terima kasih kepada kerajaan MADANI, Kementerian Pertahanan dan JHEV kerana sentiasa menghargai jasa perajurit. Ganjaran ini saya akan gunakan sebaiknya untuk membina rumah kecil baharu di atas tanah saya sendiri," katanya yang telah berkhidmat sebagai ATM selama 21 tahun sejak tahun 1964.
Untuk rekod terdapat 1,825 veteran ATM yang mengalami hilang upaya atau cedera semasa melaksanakan tugas aktif, dan 292 orang daripada jumlah tersebut mengalami kecederaan semasa operasi dan latihan berisiko tinggi.
-- BERNAMA