Jadikan Maal Hijrah sebagai momentum semangat perpaduan - Ahmad Zahid

Bernama
Julai 18, 2023 23:11 MYT
Ahmad Zahid turut mengajak umat Islam bermuhasabah serta memperbaharui azam dan iltizam untuk meletakkan diri sebagai insan muttaqin. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Semua umat Islam dan rakyat Malaysia secara amnya perlu menjadikan sambutan Maal Hijrah sebagai momentum menghidupkan semangat perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata sambutan tahun baharu kalendar Islam itu juga perlu dijadikan sebagai medan membangunkan komuniti harmoni, saling mendukung antara satu sama lain, memupuk rasa persaudaraan dan bekerjasama dalam membina sebuah negara bangsa yang berjaya.
Ahmad Zahid turut mengajak umat Islam bermuhasabah serta memperbaharui azam dan iltizam untuk meletakkan diri sebagai insan muttaqin.
"Ambillah ibrah peristiwa hijrah baginda Nabi Muhammad SAW untuk kita memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan melakar masa depan yang lebih cemerlang.
"Marilah kita berdoa agar Malaysia sentiasa dilindungi rahmat Allah SWT, beroleh keberkahan dan menjadi negara 'baldatun toyyibah warabbun ghafur'," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Datuk Seri Fadillah Yusof turut mengajak umat Islam di negara ini menggunakan kesempatan itu untuk bermuhasabah diri, tajdid (memperbaharui) niat serta menguatkan azam dan semangat untuk sentiasa berusaha menjadi insan yang lebih baik berbanding hari-hari sebelumnya.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata sambutan Awal Muharram menjadi detik yang sangat penting khususnya untuk umat Islam terus memaknai kehidupan dan amal ibadah.
"Bersempena dengan Maal Hijrah ini, umat Islam digalakkan untuk membaca doa akhir dan awal tahun. Bersama-samalah kita mengambil sedikit waktu untuk bermuhasabah, menilai semula niat dan tujuan hidup kita serta terus memperbaiki amalan dan usaha kita di dunia untuk kebaikan di akhirat kelak.
"Selamat Tahun Baharu Hijrah dan Salam Maal Hijrah 1445H. Semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa kita, menerima amal ibadah kita dan moga tahun-tahun yang mendatang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya untuk kita semua." katanya.
Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2023/1445 berlangsung esok di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadual berangkat ke majlis itu.
Seramai 6,000 tetamu dijangka hadir pada sambutan itu yang bertema 'Perpaduan Teras Malaysia MADANI.'
-- BERNAMA
#Maal Hijrah #Facebook #insan muttaqin #komuniti harmoni
;