Jadikan kaukus Dewan Negara platform bincang kepentingan rakyat - Speaker
Bernama
Disember 19, 2019 07:50 MYT
Disember 19, 2019 07:50 MYT
Persidangan Dewan Negara yang berlangsung selama lapan hari sejak Isnin lepas ditangguh ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S. A. Vigneswaran ketika mengumumkan penangguhan tersebut berharap senator menggunakan Kaukus Dewan Negara sebagai platform untuk memperhalusi sesuatu isu yang berkepentingan awam serta negara.
Pada Isnin, Parlimen sekali lagi melakar sejarah dengan tertubuhnya sebuah Kaukus Dewan Negara yang terdiri daripada 13 senator.
"Sempena 60 tahun Parlimen kita, saya juga ingin mendoakan agar Parlimen Malaysia terus maju dan cemerlang pada masa hadapan dan seterusnya berupaya mencapai matlamat menjadi institusi perundangan yang bebas, berwibawa dan bertaraf dunia," katanya.
Vigneswaran juga berkata pelbagai langkah pembaharuan telah dilakukan sejak pertengahan tahun lepas dalam usaha meningkatkan kepercayaan serta keyakinan rakyat terhadap institusi itu.
Mesyuarat Ketiga, Penggal Dua Parlimen ke-14 itu meluluskan 16 Rang Undang-Undang termasuk RUU Perbekalan 2020, RUU Kewangan 2019; RUU Cukai Pendapatan (Pindaan) 2019, RUU Petroleum (Cukai Pendapatan) (Pindaan) 2019; RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2019; RUU Bank Negara Malaysia (Pindaan) 2019 dan RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (Pindaan) 2019.
Turut diluluskan adalah RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019; RUU Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2019; RUU Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019; RUU Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (Pembubaran) 2019; RUU Perlindungan Penderma Makanan 2019; RUU Hak Cipta (Pindaan) 2019; RUU Francais (Pindaan) 2019 dan RUU Pengangkutan Barang Melalui Laut (Pindaan) 2019.
Pada Rabu, persidangan Dewan Negara juga meluluskan RUU Perbekalan 2020 (Belanjawan 2020) yang memperuntukkan sejumlah RM297 bilion untuk perbelanjaan bagi tahun berkenaan.
Pada persidangan hari terakhir Dewan Negara hari ini menyaksikan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 (Akta 803) dimansuhkan selepas RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019 diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahas oleh tujuh senator.
-- BERNAMA