Jadikan buku, alat tulis sebagai 'essential pendidikan' demi jayakan PdPR
Astro Awani
Julai 6, 2021 10:23 MYT
Julai 6, 2021 10:23 MYT
KUALA LUMPUR : Kementerian Pelajaran Malaysia sepatutnya berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara agar kedai alat tulis disenaraikan sebagai 'essential pendidikan' dan dibenarkan untuk dijual terutamanya ketika pelajar kini dalam pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Perkara itu ditegaskan Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Dr Anuar Ahmad yang turut mempersoalkan rasional disebalik keputusan tidak membenarkan penjualan alat tulis di kedai peralatan rumah.
"KPM sepatutnya mengambil usaha untuk berbincang dengan MKN agar kedai alat tulis dimasukkan sebagai barangan 'essential pendidikan' dan dibenarkan untuk dijual.
"Agak pelik ada kedai peralatan rumah (hardware) yang dibenarkan dibuka tetapi rak alat tulis terpaksa ditutup dan tidak dibenarkan dijual. Apa rasional keputusan ini?
"Ada ibu bapa yang memaklumkan buku kerja mata pelajaran dan alat tulis sudah tidak ada lagi. Apa lagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang ramai bersekolah. Bagaimana anak-anak dapat meneruskan PdPR dalam keadaan ketiadaan buku kerja, buku tulis dan alat tulis?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, walaupun ada segelintir ibu bapa yang boleh memberi alat tulis secara dalam talian namun masih ramai ibu bapa yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman yang tidak menggunakan kaedah sama.
Justeru dalam keadaan ini tegasnya, keputusan kerajaan untuk meletakkan buku kerja dan alat tulis dalam kategori 'essential pendidikan' akan sangat membantu ibu bapa, guru-guru dan murid.
#pendidikan
#pengajaran dan pembelajaran
#Majlis Keselamatan Negara
#alat tulis
#essential pendidikan