Jadi peneraju global: Malaysia, Indonesia harus bina ekosistem ekonomi halal - Duta
Bernama
Januari 17, 2023 15:47 MYT
Januari 17, 2023 15:47 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia harus membina ekosistem ekonomi halal untuk menjadi peneraju global selain daripada fokus kepada penyeragaman sijil halal.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata memandangkan Indonesia, negara yang mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia manakala Malaysia pula majoriti penduduknya beragama Islam, justeru kedua-dua negara harus menerajui dan menjadi pemain utama dalam industri halal global selain daripada negara majoriti penduduknya bukan beragama Islam seperti seperti Thailand, Brazil dan Australia.
"Saya percaya kita (Malaysia dan Indonesia) boleh bekerjasama berganding bahu untuk membangun dan memanfaatkan potensi besar ini dalam ekonomi halal.
"Selain itu, saya juga berharap kita dapat mengenal pasti bidang kerjasama masing-masing supaya mendapat manfaat daripada industri halal ini," katanya dalam ucapan khasnya pada Forum Halal Malaysia-Indonesia dan Libat Urus Industri 2023 yang julung kali diadakan di sini, hari ini.
Hermono berharap forum itu akan memperoleh beberapa kerjasama konkrit melangkaui penyeragaman sijil halal dan membincangkan cara membangunkan ekosistem ekonomi halal global.
"Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Indonesia baru-baru ini mengenai keselamatan makanan akan memberi manfaat dan menyumbang kepada ekonomi dan industri Islam dengan mengambil kira tenaga kerja dan simpanan tanah Indonesia yang besar serta pengalaman luas Malaysia dalam industri halal," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob dalam ucapannya berkata ekonomi halal sudah bersedia untuk menjadi lebih bersepadu dalam perdagangan global dan rantaian bekalan serta menambahbaik tahap perdagangan dan kewangan Islam yang lebih, ia perlu mengiktiraf dan menerima pakai piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
"Untuk kekal relevan seiring dengan pembangunan global, industri halal perlu mengambil kira dua aspek utama iaitu pematuhan ESG dan daya tahan rantaian bekalan.
"Industri halal dan ekonomi ini memberi kita peluang membangunkan lagi rantaian bekalan halal yang akan memenuhi piawaian terutamanya berkaitan dengan kelestarian alam sekitar dan amalan buruh," kata Norazman.
Beliau berkata Indonesia adalah rakan dagang halal kelima terbesar Malaysia dengan eksport halal Malaysia ke republik itu berjumlah RM9.34 bilion dalam tempoh lima tahun (2017-2021).
"Sektor makanan dan minuman mewakili bahagian terbesar, berjumlah RM1.06 bilion atau 11.6 peratus daripada eksport halal Malaysia ke Indonesia," katanya.
Forum tiga hari yang diadakan dari 16 hingga 18 Januari anjuran Halal Development Corporation (HDC), Jakim Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia adalah untuk menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh pengeksport Halal Malaysia dalam memasuki pasaran Indonesia.
Forum tahunan itu juga diletakkan sebagai platform terbaik untuk mendapatkan maklumat terkini dan berita semasa mengenai peraturan dan keperluan halal di kedua-dua negara sambil mempromosikan perdagangan halal secara keseluruhan.
-- BERNAMA