Jadi pelayan pusat hiburan, 14 wanita Thailand didenda

Sinar Harian
Julai 14, 2024 17:30 MYT
Seramai 14 wanita warga Thailand masing-masing didenda RM700 seorang oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU: Seramai 14 wanita warga Thailand masing-masing didenda RM700 seorang oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Hukuman terhadap kesemua tertuduh yang berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu diputuskan selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood dalam bahasa Thailand.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai pelayan pada 29 Mei lalu di sebuah pusat hiburan di Kuala Terengganu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan denda maksimum RM1,000 atau penjara selama enam bulan atau kedua-duanya.
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam Che Amir Che Musa. - Sinar Harian
#warga asing #pusat hiburan #terengganu #wanita thailand
;