'Jadi pelacur demi kekasih'

Sinar Harian
Ogos 31, 2018 20:46 MYT
Wanita berusia 20 tahun ini dicekup bersama salah seorang pelanggan selepas bilik di sebuah hotel mewah di sini diserbu pihak JHEAT, pada Selasa lalu. -Foto Sinar Harian
Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menahan tiga pelacur dan dua bapa ayam warga tempatan dalam tiga serbuan di dua buah hotel mewah di bandar raya ini.
Dalam serbuan pertama kira-kira jam 6.15 petang, Selasa lalu, seorang ibu tunggal berusia 20 tahun bersama bapa ayamnya ditahan dipercayai sedang menunggu pelanggan.
Menurut sumber, siasatan mendapati wanita itu terjebak dalam dunia pelacuran sejak empat bulan lalu dan menggunakan aplikasi WeChat untuk mencari pelanggan.
"Wanita itu juga mendakwa semua urusan mencari dan mengatur pertemuan dengan pelanggan dilakukan oleh bapa ayamnya.
"Dia mendakwa bapa ayam kelulusan dalam bidang perubatan dari Jordan itu akan mengambil komisyen RM100 bagi setiap pelanggannya.
"Selain itu, bapa ayam yang beralamat di Panji Alam di sini, turut mengenakan harga antara RM250 ke RM600 bagi setiap slot perkhidmatan yang akan diberikan," katanya.
Sumber berkata, selain wanita itu, siasatan mendapati bapa ayam yang kini merupakan pelajar Sarjana di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam, di sini, turut mempunyai ramai 'anak ayam' yang terdiri daripada golongan pelajar universiti dan wanita bekerjaya dalam pelbagai profesion.
Jelas sumber, serbuan kedua di hotel sama diadakan kira-kira jam 1.15 pagi, semalam, berjaya membongkar kegiatan tidak bermoral lelaki, 20-an yang sanggup menjadi bapa ayam kepada teman wanitanya, 23.
Katanya, hasil siasatan, wanita yang belum berkahwin itu mengaku terpaksa menjadi pelacur sejak awal tahun ini kerana arahan teman lelakinya dan ingin mencari duit lebih untuk membayar hutang.
"Selain mendakwa dibebani hutang yang banyak, wanita itu juga memaklumkan memilih pekerjaan sebagai pelacur kerana merasakan lebih 'selamat' disebabkan teman lelakinya sendiri yang bertindak sebagai 'orang tengah' mencari pelanggan.
"Dia mendakwa biasa teman lelakinya akan mempromosikan dirinya melalui aplikasi WeChat dengan mengenakan bayaran tempahan RM200 dan bayaran perkhidmatan RM250 yang diserahkan terus kepadanya," katanya.
Selain itu, sumber berkata, seorang lagi wanita berusia 25 tahun dicekup dalam serbuan di sebuah hotel mewah di bandaraya ini, kira-kira jam 3.15 pagi, semalam.
Jelasnya, wanita yang berasal dari Pulau Pinang bagaimanapun mengaku melakukan sendiri dalam urusan mencari pelanggan dan tidak memerlukan khidmat bapa ayam kerana sudah lama bergiat dalam aktiviti tidak bermoral itu.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya JHEAT, Mohd Azam Awi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan serbuan terbabit.
Jelasnya bagi kesalahan bapa ayam, mereka boleh didakwa dibawah Seksyen 28 Muncikari (orang tengah) yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam sebatan.
"Bagi ketiga-tiga wanita itu pula, mereka boleh didakwa dibawah Seksyen 25 perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam sebatan," katanya.
Dalam masa sama, Mohd Azam mengingatkan kepada individu luar yang berniat hendak menjalankan aktiviti pelacuran di negeri ini agar menghentikan tujuan tersebut.
#aktiviti tidak bermoral #bapa ayam #bidang perubatan #ibu tunggal #Mohd Azam Awi #Panji Alam #pelacur #Seksyen 28 Muncikari
;