Jadi mata dan telinga, lapor pencemaran sungai - Khalid Samad
Firdaus Azil
Disember 16, 2019 22:29 MYT
Disember 16, 2019 22:29 MYT
Masyarakat diseru menjadi mata dan telinga bagi pihak agensi penguatkuasaan terhadap pencemaran sungai seperti pembuangan sampah dan aktiviti mencemarkan tebing sungai, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.
Beliau berkata, aplikasi Citizen’s Eye mampu membantu penduduk dalam usaha melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan sungai.
“Pelbagai cabaran diharungi dalam usaha untuk menjayakan projek River Of Life (RoL) ini. Salah satu cabaran tersebut adalah usaha pendekatan awam iaitu mengajak masyarakat bersama-sama memahami kepentingan untuk memelihara sungai.
“Kerajaan telah berbelanja berbilion ringgit untuk membersihkan sungai. Namun tanpa bantuan dan kesedaran daripada masyarakat untuk menjaga dan menghargai sungai kita, ia tidak bermakna,” katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Anugerah RoL Public Outreach Program (POP) Fasa 5, di sini malam ini.
Turut hadir ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Datuk Ir Abdullah Isnin, serta Duta River Of Life, Maya Karin.
Dalam ucapannya, Khalid berkata, program POP itu perlu diperhebatkan lagi untuk memupuk kerjasama serta meningkatkan sikap dan tingkah laku kumpulan sasar.
“Program ini boleh menyemai rasa bertanggungjawab kita terhadap pemuliharaan sungai agar pada jangka masa panjang, mampu merubah sikap masyarakat untuk memahami dan menghayati pentingnya memelihara sungai.
“POP bagi Fasa 1 dan 2 yang meliputi kawasan hulu Sungai Klang dan Sungai Bunus telah berjaya dilaksanakan pada tahun 2012 dan kini ianya diperkembangkan ke Fasa 3A, 3B, 4 dan 5, merangkumi semua kawasan Projek RoL,” katanya lagi.
Dalam majlis itu, kategori Komuniti Setempat diungguli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kasipillay; kategori Institusi Pendidikan dimenangi Yayasan Chow Kit / Kuala Lumpur Krash Pad; dan kategori Industri, Korporat dan Pemaju dimenangi Kong Long Huat Chemical Sdn Bhd.
Kategori Pengendali Makanan, Gerai, Pasar Basah dan Bengkel Kereta dimenangi Konsortium Pasar Borong Sdn Bhd; kategori Orang Awam untuk NGO dimenangi oleh Friends of Sungai Klang Mid Valley River Three; manakala kategori Orang Awam untuk Individu dimenangi Mohamad Halim Mohamad Said.
Dalam majlis itu, Khalid turut menyampaikan Anugerah Khas Juri kepada Water Warriors dari Universiti Malaya.