Jadi guru tuisyen peluang graduan jana pendapatan

Bernama
Februari 22, 2018 20:39 MYT
Langkah pengurusan perpustakaan membuka peluang kepada graduan menganggur untuk mengajar diharap beri impak positif kepada pelajar di daerah tersebut. - Gambar hiasan
Program Group Cikgu Tuisyen yang diperkenalkan di daerah ini mampu menjadi platform kepada golongan siswazah menjana pendapatan sebelum mendapat pekerjaan tetap.
Anggota Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu, Datuk Noorsabrina Mohd Noor berkata menjadi guru tuisyen mampu mengeluarkan mereka daripada kepompong pengangguran serta meluaskan kemahiran interaksi sosial mereka dengan masyarakat.
"Cetusan idea mengambil graduan yang masih mencari kerja sebagai guru tuisyen adalah rentetan kepada program tuisyen percuma diadakan dengan kerjasama perpustakaan awam di sini.
"Inisiatif ini dilihat antara terbaik dalam membantu mereka menjana pendapatan," katanya selepas merasmikan Jelajah Karnival Sebenarnya.my peringkat daerah Bandar Baharu di sini pada Khamis.
Beliau berharap langkah pihak pengurusan perpustakaan itu membuka peluang kepada graduan menganggur untuk mengajar di tempat mereka akan memberi impak positif kepada pelajar di daerah ini.
Ia juga sekali gus memperkasakan fungsi perpustakaan yang tidak hanya terhad kepada buku dan perkhidmatan jalur lebar, katanya.
-- ​BERNAMA
#cikgu tuisyen #guru tuisyen #jana pendapatan #kemahiran #Kulim #Noorsabrina Mohd Noor #pekerjaan tetap #pengangguran #perpustakaan #tuisyen