Jabatan Warisan Negara akan laksana Pelan Konservasi Lindungan Warisan
Bernama
Disember 9, 2016 11:36 MYT
Disember 9, 2016 11:36 MYT
Jabatan Warisan Negara (JWN) akan memulakan Pelan Pengurusan Konservasi bagi melindungi ketulenan semua warisan ketara dan tidak ketara negara mulai tahun depan, kata Ketua Pengarahnya Dr Zainah Ibrahim.
Beliau berkata dua jenis pelan akan disediakan iaitu Pelan Pengurusan Konservasi bagi warisan ketara, dan Peraturan dan Tatacara Konservasi bagi warisan tidak ketara
Sehingga kini terdapat 331 warisan tidak ketara seperti busana, makanan, seni persembahan termasuk adat dan budaya yang telah diwartakan di bawah Akta Warisan 2005, katanya kepada Bernama di sini.
Sementara itu bagi warisan ketara pula terdapat 284 tapak bangunan atau monumen, 102 warisan objek ketara dan 21 orang warisan tokoh orang hidup.
Zainah berkata pelan itu penting bagi memastikan warisan asli negara dapat dikekalkan walaupun telah bercampur atau berasimilasi dengan budaya dan tempat lain.
Beliau berkata warisan tidak ketara dan ketara ini bila diwartakan memerlukan tatacara atau peraturan mengenainya, contohnya bagaimana baju Melayu warisan untuk menentukan apa itu baju Melayu, apa butiran yang perlu ada.
"Busana seperti baju melayu mungkin akan mengalami adaptasi dari zaman ke zaman, contohnya semasa zaman Portugis, zaman 50-an, zaman 60-an bila ada pengaruh wayang dan adanya pengaruh artis... jadi mungkin generasi akan datang nanti tidak lagi dapat melihat ketulenan baju Melayu, tetapi dengan adanya pelan ini, ketulenan warisan kita akan sentiasa terjaga," katanya.
Zainah berkata peringkat awal pelan itu dijangka akan dapat dikeluarkan dalam masa dua tahun dan ia merupakan proses berterusan kerana banyak yang perlu diteliti.
Pelan yang akan dihasilkan ini berdasarkan daripada hasil kajian ilmiah dan bukan dibuat sembarangan kerana ia akan dapat menjamin identiti masyarakat Malaysia yang telah banyak bercampur, dan perlu diadakan berterusan kerana memerlukan penambahan dari semasa ke masa, katanya.
"Dalam negara kita ini sangat terbuka, pelbagai kaum, pelbagai agama, jadi kita ada peringkat-peringkat di mana kita adaptasi budaya dan cara hidup yang lain. Tujuan kita mengadakan garis panduan ini untuk mencari identiti sendiri, sebagai panduan yang tidak lari daripada yang asal," katanya .
"Ia boleh berubah tiada masalah, yang penting kita tahu ketulenan dan warisannya," katanya.
Zainah juga berkata pihaknya telah menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Kelantan untuk menjalankan kajian terperinci mengenai warisan tidak ketara untuk dimasukkan dalam pelan konservasi jabatan itu.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara jabatan itu Khalid Syed Ali berkata pihaknya turut mengadakan bengkel mengenai Busana dan Seni Hias Diri bagi memberi pendedahan mengenai estetika busana Melayu dan seni hias diri dahulu hingga kini.
Melalui program ini, jabatan itu akan mengumpul pencinta busana dan seni hias diri yang meliputi kumpulan sasaran dari pelbagai institut termasuk institusi pengajian awam dan swasta, jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, muzium, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam untuk didedahkan mengenai busana Melayu dan seni hias diri.
-- BERNAMA