Jabatan Tenaga Kerja buka 21 kertas siasatan, 19 terhadap Top Glove

Ridauddin Daud
Disember 1, 2020 11:23 MYT
Kelihatan anggota tentera memasang kawad duri di hadapan asrama pekerja Top Glove di Meru, Klang, 16 Nov, 2020, susulan penularan COVID-19. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) membuka 21 kertas siasatan melibatkan 63 pertuduhan, termasuk 19 terhadap enam kumpulan syarikat Top Glove.
Ketua Pengarahnya Asri Ab Rahman berkata, tindakan itu dilakukan selepas pihaknya mendapati syarikat itu tidak mematuhi Akta Standard Minima Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Menurutnya, kesalahan utama adalah syarikat itu gagal memohon Perakuan Penginapan daripada jabatan tersebut dan kesalahan itu disiasat di bawah Seksyen 24D Akta 446.
Tambah beliau, kegagalan itu membawa kepada kesalahan lain termasuk keadaan penginapan dan asrama yang padat, tidak selesa dan pengudaraan yang tidak sesuai.
BACA: Kerajaan nafi ada perjanjian rahsia dengan Top Glove
BACA: Vaksin: Top Glove jangka permintaan sarung tangan terus meningkat
“Kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, tindakan itu diambil berikutan operasi penguatkuasaan dilakukan serentak di kilang Top Glove di lima negeri pada 26 November lepas.
Negeri terbabit adalah Perak, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan dan Johor.
"Kita dapati sesetengah subsektor juga gagal menyediakan penempatan yang kondusif kepada pekerja mereka selain tiada sijil layak menduduki (CF)," kata Asri.
Beliau berkata, sekiranya sabit kesalahan, majikan boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan dan boleh dipenjarakan.
BACA: Top Glove diarah saring, kuarantin 2,263 pekerja tinggal luar kawasan PKPD
BACA: Penutupan sementara operasi kilang, Top Glove akan beri kerjasama penuh
BACA: PKPD Top Glove: Pasukan khas ditubuhkan selaras gerak kerja
Dalam pada itu, Asri berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak akan berkompromi dengan ketidakpatuhan majikan terhadap akta itu.
“Kementerian menyeru majikan dan penyedia penginapan berpusat agar segera membuat Perakuan Penginapan,” ujarnya.
Akta 446 melalui pindaan yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 15 Julai 2019 dan Dewan Negara pada 31 Julai 2019, serta diwartakan pada 18 September 2019.
Akta 446 (Pindaan) 2019 juga bertujuan menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang disediakan JTKSM.
Penambahbaikan Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 itu antara lain meliputi standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja serta elemen keselamatan dan kebersihan yang perlu dititikberatkan oleh majikan.
#Asri Ab Rahman #JTKSM #Jabatan Tenaga Kerja #kertas siasatan #Top Glove #kesalahan #Siasat #asrama #Pekerja #Akta 446 #Pertuduhan #Perakuan Penginapan #pengudaraan #majikan
;