Jabatan Pesakit Luar Hospital Pulau Pinang ditutup akibat lonjakan pesakit COVID-19
Afiezy Azaman
Ogos 4, 2021 11:58 MYT
Ogos 4, 2021 11:58 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Pesakit Luar Hospital Pulau Pinang terpaksa ditutup untuk sementara waktu susulan peningkatan pesakit COVID-19 ke Jabatan Kecemasan dan Trauma serta kemasukan ke wad.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan berkata, Jabatan Pesakit Luar terpaksa diubah suai menjadi wad pemerhatian dan rawatan awal untuk pesakit COVID-19.
"Klinik-klinik Kesihatan di daerah Timur Laut telah bersedia untuk menerima pesakit-pesakit luar dengan bantuan Pegawai-pegawai Perubatan Jabatan Pesakit Luar, Hospital.
"Pihak Hospital Pulau Pinang akan menyediakan kaunter khas untuk membantu menyediakan surat rujukan mengikut tarikh temu janji secara teratur bagi pesakit tetap Jabatan berkenaan.
"Kaunter berkenaan akan dibuka di Pusat Sumber Pendidikan Kesihatan di Tingkat 1 Kompleks Rawatan Harian (ACC) dan sebarang pertanyaan lanjut, orang awam boleh menghubungi talian 04-2225778 semasa waktu pejabat (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang) untuk sebarang pertanyaan dan membantu pesakit membuat temu janji," kata KKM pada Rabu.
Mengulas lanjut, KKM berkata, kaunter triage akan dibuka untuk membuat saringan dan rujukan selanjutnya bagi pesakit yang datang secara walk-in.
Tambah KKM, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Klinik-klinik Pakar yang lain, Perkhidmatan Farmasi, Radiologi dan Makmal masih dibuka seperti biasa.
"Hospital Pulau Pinang juga ingin memohon agar orang awam sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama apabila berurusan di hospital," ujarnya.
#COVID-19
#Kementerian Kesihatan
#KKM
#SOP
#Jabatan Pesakit Luar Hospital Pulau Pinang
#kemasukan ke wad
#pesakit