Jabatan Perumahan Negara, LPHP meterai MoU selamatkan projek perumahan sakit di Perak
Bernama
Julai 10, 2024 04:15 MYT
Julai 10, 2024 04:15 MYT
IPOH: Kerajaan Perak melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dan Jabatan Perumahan Negara memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) sebagai langkah penting dalam menyelamat dan memulih projek perumahan sakit dan terbengkalai di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerjasama pertama seumpamanya di negara ini itu menandakan satu titik perubahan dalam menyelesaikan masalah perumahan yang sekian lama membelenggu rakyat.
"Kerjasama strategik ini akan memfokuskan kepada tiga aspek utama iaitu pemantauan rapi terhadap pembangunan perumahan bermasalah di Perak, pengumpulan data dan maklumat teknikal yang komprehensif dan pemulihan projek-projek terbengkalai secara sistematik dan efisien," katanya pada sidang media selepas majlis pertukaran dokumen MoU berkenaan, di sini, pada Rabu.
MoU itu ditandatangani Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk K.N Jayaselan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohamed Akmal Dahalan disaksikan Saarani dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Sementara itu Saarani berkata setakat ini, lima projek dikenal pasti sebagai terbengkalai di Perak melibatkan D'Aman Residensi Meru Raya di Ipoh, Taman Tapah Permai di Tapah, Taman Cempaka II di Manjung, Taman Seri Emas di Kampar dan Taman Limau Mas di Beruas.
Katanya, semua projek tersebut kini di bawah pemantauan aktif LPHP dan bagi projek D'Aman Residensi Meru Raya, ia dijangka disambung semula akhir Julai ini dan seterusnya mendapat Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) Disember tahun ini.
Saarani turut memaklumkan, berdasarkan data terkini Jabatan Perumahan Negara, terdapat 58 projek perumahan melibatkan pemaju swasta dengan 4,007 unit rumah dikategorikan sebagai projek sakit di Perak sehingga 31 Mei tahun ini.
-- BERNAMA