Jabatan Pertanian sedia bantu pengusaha kopi
Bernama
Oktober 1, 2021 15:38 MYT
Oktober 1, 2021 15:38 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi Jabatan Pertanian sedia membantu 'dari awal hingga akhir' individu berminat menjadi pengusaha kopi daripada penyediaan proses penananam, sistem pengairan hingga pemprosesan kopi.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian (Pengurusan dan Regulatori) Datuk Zahimi Hassan berkata, buat masa ini, terdapat kira-kira 2,000 pengusaha kopi di Malaysia terutamanya di Kedah, Johor dan Sabah dengan majoriti varieti kopi ditanam adalah jenis 'Liberica' dan 'Robusta'.
Menurut data Jabatan Pertanian, keluasan kawasan penanaman kopi di Malaysia pada 2021 adalah 2,220 hektar berbanding 2,114 hektar pada 2019.
Pengeluaran kopi pada 2020 adalah sebanyak 4,241 tan metrik berbanding 3,559 tan metrik pada 2019, dengan pengeluar utama ialah Johor dan Sabah, katanya.
"Angka pengeluaran kopi dijangka meningkat setiap tahun dengan mengambil kira potensi penghasilan buah kopi mengikut kematangan pokok," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Kopi Sedunia 2021 peringkat kebangsaan di sini hari ini.
"Masalah utama dalam industri ini adalah tenaga buruh iaitu keperluan ketika memetik buah kopi yang matang, kerana dalam satu tangkai buah kopi, bukan semua masak pada satu-satu masa, jadi keperluan untuk memetik buah kopi masak dari tangkai sama adalah berulang," katanya.
Zahimi berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4.5 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Projek Pembangunan Industri Tanaman Kopi yang antara lain bertujuan menyediakan infrastruktur dan fasiliti pengendalian lepas tuai dan peralatan kawalan perosak.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang merasmikan Sambutan Hari Kopi Sedunia itu secara maya dalam mesejnya berkata MAFI akan memberi penekanan khusus merangka insiaitif baharu untuk menggalakkan usahawan muda tempatan menceburi industri tanaman kopi.
Tarikh 1 Okt dipersetujui Organisasi Kopi Antarabangsa (ICO), yang dianggotai 49 negara, sebagai tarikh sambutan Hari Kopi Antarabangsa. Ia bagi mempromosi dan meraikan kopi sebagai satu minuman harian, di samping menghargai petani kopi serta seluruh rantaian nilai kopi termasuklah pemproses, pengilang hingga pengguna.
-- BERNAMA