Jabatan Perikanan guna taktik penyamaran pantau jualan telur penyu

Bernama
Jun 1, 2022 19:25 MYT
Pegawai Jabatan Perikanan (Unit Perlindungan Sumber) Terengganu Hairul Effendy Adzmi (kiri) bertanyakan mengenai penjualan telur penyu semasa melakukan pemantauan penjualan telur penyu di Pasar Besar Kedai Payang hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menggunakan taktik penyamaran bagi memantau penjualan telur penyu dan telur tuntung di pasaran negeri itu, selepas larangan jualan makanan eksotik itu berkuat kuasa hari ini.
Pegawai Perikanan Unit Perlindungan Sumber jabatan itu Hairul Effendy Adzmi berkata kehadiran pegawai penguat kuasa tanpa pakaian seragam penting bagi memastikan tiada peniaga yang masih berani menjual telur penyu daripada semua spesies, walaupun secara sembunyi.
"Hari ini adalah hari pertama larangan penjualan telur penyu di Terengganu dan hasil pemantauan di Pasar Besar Kedai Payang, kami berpuas hati kerana tiada lagi peniaga yang menjualnya seperti kebiasaan.
"Selain pasar, pemantauan juga akan dilakukan secara konsisten di kedai makan dan jualan secara dalam talian," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, beberapa peniaga yang ditemui mengakui mereka terpaksa akur dengan larangan itu kerana tidak mahu mengambil risiko tindakan undang-undang.
Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Payang dan Bazar Warisan Ahmad Shukri Abdullah berkata semua peniaga di pasar itu sedia maklum mengenai larangan tersebut dan mematuhinya selaras dengan usaha konservasi yang dilakukan kerajaan.
"Suka atau tidak, kerajaan telah mengharamkan penjualannya dan sebagai peniaga kita patuh dengan keputusan itu," katanya.
Seorang peniaga, Hayati Mad Zain, 54, pula berkata sebelum ini ramai pelanggan datang membeli telur penyu di gerainya kerana ada pilihan antara yang siap direbus dan dijeruk pada harga RM6 atau RM7 sebiji.
"Ada yang kata telur penyu mujarab sebagai ubat untuk sakit lutut dan sakit saraf, tapi kini tak boleh jual dan inilah 'pengorbanan' yang peniaga lakukan untuk menyokong usaha kerajaan," katanya yang sudah 30 tahun berniaga di pasar itu.
Pada November lepas, kerajaan Terengganu meluluskan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri, untuk mengelakkan hidupan marin yang semakin terancam itu terus pupus.
Pindaan itu antara lain mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan penyu dengan kadar denda yang lebih tinggi terhadap kesalahan kacau ganggu dan membunuh penyu, iaitu RM50,000 hingga RM250,000 atau penjara tidak kurang setahun atau kedua-duanya sekali.
-- BERNAMA
#jabatan perikanan #Jabatan Perikanan Negeri Terengganu #taktik penyamaran #penjualan telur penyu #telur tuntung
;