Jabatan Perhutanan Terengganu gesa penduduk bantu kempen tanam 100 juta pokok
Bernama
November 13, 2021 14:03 MYT
November 13, 2021 14:03 MYT
DUNGUN: Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu menyeru lebih ramai penduduk negeri ini mendaftar menerusi aplikasi Penghijauan Malaysia bagi menjayakan Kempen Penanaman 100 juta Pokok 2021-2025.
Pengarahnya Roslan Rani berkata setakat ini hanya 58 individu di negeri itu mendaftar menerusi aplikasi berkenaan sejak kempen itu dilancarkan pada 5 Januari lepas.
"Saya percaya sebenarnya 30 hingga 40 peratus rakyat Terengganu ada menanam sekurang-kurangnya satu pokok di rumah atau kawasan penempatan masing-masing.
"Bagaimanapun disebabkan sebaran berita yang agak lemah, mereka mungkin tidak tahu cara mendaftar dan terlepas peluang untuk turut serta dalam kempen berkenaan," katanya kepada Bernama selepas majlis gotong-royong penanaman anak pokok sempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka di Taman Rekreasi Kolam Temusu, Taman Uda Paka di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satipul Bahri Mamat.
Seramai 150 orang termasuk kakitangan Jabatan Perhutanan, pemimpin masyarakat dan komuniti setempat menyertai aktiviti gotong-royong itu dengan menanam 1,200 anak pokok pelbagai spesies.
Roslan berkata setakat ini Terengganu berjaya menanam 277,665 anak pokok pelbagai spesies termasuk Bitangor Laut, Dungun, Tembusu, Kapor dan buah-buahan mengikut kesesuaian tanah di lokasi masing-masing.
Bagaimanapun jumlah itu masih rendah berbanding negeri lain seperti Sarawak, Sabah, Pahang dan Kedah.
"Kita sebenarnya sudah melebihi sasaran asal yang ditetapkan iaitu 250,000 (pokok) setahun. Tetapi saya percaya jika lebih ramai isi rumah yang mendaftar dengan aplikasi tersebut, kita akan dapat mencapai sehingga 400,000 sehingga hujung tahun ini.
"Pada masa sama Jabatan Perhutanan juga akan memperkasa kerjasama dengan agensi kerajaan, persatuan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi mendapat maklumat dan merancakkan aktiviti gotong-royong menanam pokok," katanya.
Beliau juga berharap kempen penanaman pokok bukan sekadar dilihat sebagai sebuah program semata-mata sebaliknya komitmen masyarakat dalam menyediakan masa depan yang lebih baik kepada generasi akan datang melalui cara mengekalkan ekosistem dan khazanah alam.
-- BERNAMA