Jabatan Perhutanan perkenal pendekatan 'Forest Therapy' tarik pelancong
Bernama
Mei 3, 2018 06:00 MYT
Mei 3, 2018 06:00 MYT
Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia akan memperkenalkan pendekatan 'Forest Therapy' bagi menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara melawat hutan di negara ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Akhirrudin Mahmud, berkata pendekatan yang bakal digunakan itu diyakini mampu menjadi tarikan baharu kawasan rekreasi dan hutan taman eko rimba di negara ini sekiranya berjaya mendapat modul terbaik pelaksanaannya.
Menurutnya, perkara itu masih di peringkat kajian melibatkan pakar-pakar dalam bidang berkaitan supaya apa yang dirancang memberi impak kepada pelancong yang melawat hutan di negara ini.
"Menerusi lawatan ke hutan pelancong boleh menikmati pemandangan dan suasana yang tenteram dengan terapi semulajadi yang mereka rasai sendiri.
"Setakat in,i kita belum menentukan kawasan atau negeri mana yang akan menjadi hutan pertama menyediakan perkhidmatan ini sebaliknya bergantung kepada hasil kajian di bawah bahagian taman eko rimba," katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan program Malaysia Cavers Symposium 2018 yang turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang Datuk Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin dan Pengarah Bahagian Taman Eko Rimba Abdul Rahman Abdul Jalil.
Nor Akhiruddin, berkata pendekatan Forest Therapy itu bertujuan menggalakkan kehadiran pelancong melawat hutan di negara ini sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan.
Katanya, pendekatan itu juga sebagai sebahagian dari usaha Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia untuk menjadikan hutan sebagai sumber pendapatan kepada masyarakat tempatan dan negara dan tidak semata-mata menerusi aktiviti pembalakan.
"Kita mahu menjadikan hutan sumber pendapatan kepada masyarakat bukan menerusi pembalakan sebaliknya menerusi aktiviti seperti Forest Therapy ini bagi menarik kehadiran pelancong baharu dan pelancong berulang ke negara ini.
"Jabatan Perhutanan akan bekerjasama dengan kementerian dan jabatan lain dalam usaha memastikan perancangan itu terlaksana," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang Datuk Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata kawasan rekreasi Hutan Lipur Gunung Senyum akan ditambah baik bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong.
- BERNAMA
#belantara
#ekonomi
#forest therapy
#hutan
#Malaysia
#nor akhirrudin mahmud
#Pahang
#pelancong
#pelancongan