Jabatan Perhutanan Kelantan pandang serius dakwaan pembalakan haram

Bernama
Oktober 3, 2019 04:58 MYT
JPNK memandang serius dakwaan aktivis alam sekitar mengenai aktiviti pembalakan dan perlombongan haram di Kelantan pada tahap serius. Foto: Bernama
Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) memandang serius dakwaan aktivis alam sekitar mengenai aktiviti pembalakan dan perlombongan haram di Kelantan yang dikatakan pada tahap serius.
Pengarahnya, Mohd Radhi Choo Abdullah berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan itu secara terperinci dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya dakwaan itu benar memandangkan ini melibatkan ketirisan hasil kerajaan negeri.
"Dakwaan yang mengatakan semua proses pembalakan bermula daripada permohonan sehingga lulus lesen, pengeluaran balak sehingga sampai ke kilang melibatkan wang adalah amat berat.
"Begitu juga dengan dakwaan mengenai aktiviti mengubah 'bearing' dan batu sempadan bagi pembesaran kawasan kerja, bayaran tanpa resit, bayaran cukai lori, mengubah ukuran saiz dan jenis kayu sebenarnya tidak wujud sama sekali," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau turut menegaskan JPNK sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sentiasa mematuhi prinsip integriti ketika menjalankan tugas.
Pada 30 Okt lepas sebuah akhbar melaporkan kenyataan aktivitis alam sekitar yang mendakwa aktiviti pembalakan dan perlombongan di Kelantan kini diibaratkan sebagai kanser tahap empat.
Mengulas lanjut, Mohd Radhi berkata siasatan awal JPNK mendapati kontraktor pembalakan hanya diminta menjelaskan bayaran untuk tujuan perlesenan berdasarkan peraturan (Kaedah-Kaedah Hutan) yang berkuatkuasa di negeri ini.
Beliau berkata pihaknya mengeluarkan resit rasmi terhadap kesemua bayaran yang dikenakan dan pegawai serta kakitangan tidak dibenarkan sama sekali menerima bayaran secara tunai.
"JPNK juga telah mengambil beberapa langkah proaktif untuk membendung kes-kes kesalahan hutan dan pembalakan haram bagi mengelak ketirisan seperti melakukan pemeriksaan secara berkala di kawasan pembalakan, pemeriksaan transit kayu balak dan pemeriksaan secara mengejut di Balik Pemeriksaan Hutan.
"Bagi memperkuatkan aktiviti penguatkuasaan jabatan juga melaksanakan operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan dan sebagainya. Selain itu, pegawai yang terlibat digalakkan untuk menghadiri bengkel berkaitan penguatkuasaan bagi meningkatkan kefahaman," katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Radhi berkata sehingga September tahun ini sebanyak 19 kes kesalahan hutan direkodkan manakala lima daripadanya sudah dituduh di mahkamah.
Beliau berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pegawai atau kakitangan yang didapati tidak berintegriti dan sentiasa komited untuk memastikan sumber hutan negara khususnya Hutan Simpan Kekal diurus dengan amalan pengurusan hutan secara berkekalan.
-- BERNAMA
#aktivis alam sekitar #Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan #JPNK #Kelantan #Mohd Radhi Choo Abdullah #pembalakan
;