Jabatan Perhutanan Johor siasat kes pendaki sesat di Gunung Banang Sabtu lepas

Bernama
Mei 16, 2022 18:16 MYT
Pasukan penyelamat menerima taklimat sebelum memulakan operasi SAR di Gunung Banang, pada Ahad. - Foto Sinar Harian
BATU PAHAT: Pendaki yang sesat di Gunung Banang, Hutan Simpan Banang, di sini, dua hari lepas didapati tidak memohon Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal sepertimana yang telah disyaratkan, kata Jabatan Perhutanan Johor.
Pengarahnya Datuk Salim Aman berkata siasatan awal pihaknya mendapati pendaki berkenaan bersama keluarganya tidak memohon permit berkenaan yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 47(1)(c) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Selain itu, Salim berkata hasil siasatan jabatan itu turut mendapati pendaki tersebut bersama keluarganya telah memasuki hutan berkenaan selepas pukul 4 petang untuk mendaki ke puncak gunung itu.
"Pendakian tersebut didapati telah melanggari peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan daripada segi masa yang ditetapkan untuk mendaki melalui trek pendakian dalam kawasan hutan iaitu tidak lewat daripada pukul dua petang.
"Ia bagi memastikan pendaki dapat keluar semula sebelum pukul 7 malam. Untuk makluman, Jabatan Perhutanan Johor ada menempatkan anggota bertugas setiap hari di pintu masuk trek pendakian, biasanya bermula dari pukul 8 pagi hingga pukul 3.30 petang untuk memantau perjalanan aktiviti pendakian bagi memastikan mematuhi peraturan dan prosedur yang ditetapkan," tambah Salim lagi.
Justeru, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut termasuk merekod kenyataan pendaki yang sesat serta ahli keluarga yang terlibat untuk tindakan selanjutnya serta menasihati orang awam terutamanya peminat sukan pendakian supaya mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard yang ditetapkan, mendapatkan permit yang ditetapkan serta mematuhi waktu pendakian demi keselamatan mereka sendiri.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat Supt Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan kejadian berkenaan melibatkan seorang lelaki berusia 45 tahun yang sesat dengan laporan diterima pada Sabtu, pukul 10.21 malam.
BACA: Lelaki sesat hampir 24 jam di Gunung Banang ditemui selamat
Menurut satu kenyataan berasingan semalam, ketika kejadian pendaki terbabit bersama isteri dan tiga anaknya telah melakukan aktiviti pendakian lebih kurang 4.15 petang melalui trek pendakian, namun mangsa kembali ke tempat pemeriksaan permulaan untuk menghantar salah seorang anaknya yang mengalami sakit kaki.
"Isteri dan dua lagi anak mereka meneruskan pendakian ke puncak dan ketika mereka kembali ke tempat pemeriksaan permulaan didapati lelaki terbabit tiada, selepas dikatakan telah mendaki semula.
Mereka menunggu sehingga pukul 7.30 malam namun tiada dan kemudiannya telah meminta pertolongan pendaki lain namun gagal, sebelum membuat laporan polis," katanya.
Shahrulanuar Mushaddat berkata mangsa bagaimanapun berjaya keluar sendiri dan ditemui kira-kira 10 kilometer dari lokasi yang dilaporkan hilang iaitu Tanjung Laboh, 7 malam tadi.
-- BERNAMA
#pendaki sesat #Gunung Banang #Hutan Simpan Banang #Permit Memasuki Hutan Simpanan #Jabatan Perhutanan Johor #salim aman
;