Jabatan Perhutanan hantar pasukan penyiasat kaji punca tragedi di Lata Charok
Bernama
Mei 14, 2017 07:28 MYT
Mei 14, 2017 07:28 MYT
Jabatan Perhutanan Pahang akan menghantar pasukan penyiasat untuk meneliti punca sebenar kejadian pokok tumbang di Lata Charok, Janda Baik, Bentong pagi semalam, sehingga mengorbankan dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam dan mencederakan enam pelajar lain.
Pengarahnya Datuk Mohd Paiz Kamaruzzan berkata siasatan akan dilakukan untuk menentukan punca kejadian sama ada disebabkan pergerakan tanah atau faktor lain yang mengakibatkan pokok sebesar tiga pemeluk orang dewasa itu tumbang walaupun dalam keadaan cuaca baik.
"Perkara ini masih dalam siasatan, terlalu banyak spekulasi yang tular ketika ini. Bagi kita masa untuk menentukan punca sebenar," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Ahad.
Katanya kawasan tersebut sering menjadi tumpun orang ramai untuk menjalankan pelbagai aktiviti rekreasi, namun kebanyakannya tidak memaklumkan kepada Jabatan Perhutanan dan polis termasuk pihak yang menganjurkan aktiviti survival yang melibatkan 140 pelajar dan empat pensyarah itu.
Dalam kejadian 4 pagi Sabtu, dua pelajar UiTM maut, manakala enam lagi cedera setelah dihempap pokok balak ketika sedang melakukan aktiviti survival di kawasan berkenaan.
Mangsa yang maut ialah Muhammad Kamil Md Sukri, 22, dari Sabak Bernam, Selangor, dan Noorain Mohtar, 23, dari Sungai Besar, Selangor.
Lima pelajar yang cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Bentong ialah Abdul Muaz Abdul Razak, 22, dari Kampung Merawan Indah, Ipoh, Perak; Mohd Ammar Affandi Ahmad Subki, 20, dari Padang Serai, Kedah; Nur Farah Izzatul Azira Md Fauzi, 20, dari Kulai, Johor; Farah Hanisah Hamdan, 22, dari Parit Buntar, Perak, dan Ainin Sofea Abd Shukor, 21, dari Benut, Johor.
Muhammad Haziq Radzuan, 21, dari Bandar Puncak Alam, Selangor yang cedera parah pula dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, Penguasa Bomba Zon 2, Shahrin Yusma Yusma Mat Yusof yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat semalam, menyeru pihak yang berkenaan menitik beratkan aspek keselamatan sebelum menganjurkan apa jua aktiviti di dalam hutan.
"Penganjur perlu maklum terlebih dahulu kepada pihak berkuasa jika ingin melakukan sebarang aktiviti di dalam hutan terutama jika melibatkan peserta yang ramai untuk memudahkan bantuan disalurkan jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
"Selain itu, kaji juga tempat berkenaan sesuai atau selamat untuk melakukan sebarang akvititi, sama ada pada waktu malam mahupun siang. Malah stamina peserta juga perlu dipertimbangkan untuk sebarang aktiviti lasak," katanya.
-- BERNAMA