Jabatan Perhilitan kaji punca harimau keluar dari habitat

Bernama
September 30, 2018 07:41 MYT
Ahmad Azhar turut mengesahkan penemuan tapak kaki harimau di lokasi yang dilaporkan itu. - Gambar hiasan
Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara Pahang telah menghantar sepasukan enam anggotanya bagi menyiasat tentang penemuan harimau Malaya berhampiran Taman Negara Kuala Tahan pada Sabtu.
Pengarahnya Ahmad Azhar Mohamed berkata selain menjejak harimau berkenaan untuk memastikan keselamatannya dan penduduk di kawasan itu, pasukan tersebut akan menyiasat punca harimau terbabit merayau keluar dari kawasan habitatnya.
"Setakat ini kita masih belum kenal pasti sama ada harimau berkenaan dari Taman Negara Kuala Tahan ataupun hutan dari kawasan berhampiran.
"Jika dilihat di Taman Negara tidak ada masalah dari segi kitaran makanan, ia masih stabil dan terpelihara namun di kawasan hutan Jerantut kita tidak pasti sama ada berlaku pembalakan di kawasan itu yang menyebabkan haiwan liar berkenaan terpaksa keluar untik mencari makanan, " katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Ahad.
Beliau diminta mengulas mengenai sebuah klip video yang tular di laman sosial pada Sabtu berkenaan penemuan seekor harimau yang melintas jalan berhampiran Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut.
Ahmad Azhar turut mengesahkan penemuan tapak kaki harimau di lokasi yang dilaporkan itu.
Sehubungan itu beliau meminta penduduk di kawasan berhampiran agar berhati-hati dan mengelak daripada melalui kawasan tersebut, terutama waktu malam.
"Harimau Malaya ini biasanya jarang keluar pada waktu siang namun dalam klip video ini haiwan berkenaan dilihat pada waktu siang.
"Jadi kita minta penduduk lebih berhati-hati," katanya.
-- BERNAMA
#Ahmad Azhar Mohamed #habitat #harimau #hidupan liar #Jabatan Hidupan Liar #kitaran makanan #klip video #malam #merayau #Pahang #Perhilitan #punca #Taman Negara Pahang #tapak kaki
;