Jabatan Perangkaan lancar Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022
Ridauddin Daud
Januari 17, 2022 14:20 MYT
Januari 17, 2022 14:20 MYT
SEPANG: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melancarkan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 di sini pada Isnin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata survei itu mampu membantu kerajaan terutamanya dalam menganalisis agihan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah mengikut domain lebih terperinci.
Menurutnya, dapatan dari survei itu juga akan menjadi tanda aras baharu bagi kerajaan menggubal polisi dan dasar berkaitan untuk kesejahteraan rakyat.
“Ada empat sumber pendapatan. Satu daripada gaji mereka, yang kedua daripada anak-anak, yang ketiga pelaburan. Ini antara sumber utama pendapatan. Perbelanjaan pula kita nak tahu ‘pattern’ dia.
“Makanan itu berapa, untuk rekreasi berapa, untuk kenderaan berapa. Ini penting untuk kita melihat corak perbelanjaan dan ia akan menentukan pemberat bagi CPI (Indeks Harga Pengguna).
“Jadi Jabatan Perangkaan memainkan peranan penting dalam memastikan angka-angka ini tepat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelaksanaan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/ BA) 2022 di sini pada Isnin.
Survei tersebut dilaksanakan secara temuramah bersemuka dan akan melibatkan seramai 92,000 isi rumah terpilih yang meliputi lebih 500,000 orang penduduk di seluruh negara.
Selain itu, responden terpilih boleh juga membuat pengisian borang soal selidik secara self-response secara atas talian.
Dalam pada itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, survei itu adalah selaras dengan cadangan dan amalan di peringkat antarabangsa serta mengguna pakai saranan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Survei ini amat penting dan memberi banyak manfaat yang boleh dirasai oleh rakyat secara langsung dan tidak langsung. Maklumat pendapatan isi rumah yang dikumpul digunakan untuk mengkaji pola dan struktur pendapatan isi rumah.
“Ia juga mengukur jurang ketaksamarataan pendapatan, mengukur kadar kemiskinan negara, menyediakan maklumat kemudahan asas yang dapat digunakan bagi penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan asas di pelbagai lokasi.
“Manakala maklumat pola perbelanjaan digunakan sebagai asas untuk mengenal pasti gelagat pengguna melalui corak perbelanjaan isi rumah dan menjadi asas pengukuran inflasi dan kos sara hidup,” ujarnya.