Jabatan Penjara tolak permohonan Najib hadir sidang Parlimen
Hilmi Malik
Oktober 3, 2022 19:18 MYT
Oktober 3, 2022 19:18 MYT
KUALA LUMPUR : Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat ditolak Jabatan Penjara Malaysia (JPM).
Perkara itu dimaklumkan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, selepas prosiding perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Isnin.
Menurut Muhammad Shafee, permohonan berkenaan dibuat kepada Ketua Pengarah Jabatan Penjara, pada 19 September lalu.
“Mereka balas permohonan itu dan tidak benarkan atas alasan keselamatan. Saya rasa pelik kerana Parlimen lagi selamat dari mahkamah kerana di situ (Parlimen) Najib hanya terdedah kepada orang awam.
“Disebabkan permohonan ditolak, kami buat rayuan kepada Menteri Dalam Negeri termasuk menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun," katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Shafee menyatakan Najib masih lagi Ahli Parlimen Pekan yang sepatutnya diberikan hak untuk menghadiri sidang Parlimen.
"Ini termasuk hak beliau (Najib) untuk mendengar pembentangan Bajet 2023 yang akan berlangsung pada Jumaat akan datang," katanya.
Muhammad Shafee turut berpendapat, Najib juga perlu diberikan hak untuk bertemu dengan rakyat di kawasannya.
Terdahulu, Azhar berkata, meskipun Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun namun beliau boleh menghadiri sidang Parlimen.
Bagaimanapun katanya, perkara itu tertakluk kepada kebenaran Jabatan Penjara berikutan pihaknya tidak mempunyai sebarang kuasa terhadap Najib yang kini menjalani hukuman penjara.