Jabatan Penjara nafi Najib ditempatkan di rumah pegawai
Hasimi Muhamad
September 7, 2022 17:03 MYT
September 7, 2022 17:03 MYT
KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara ditempatkan di sebuah rumah pegawai di Penjara Kajang adalah tidak benar.
Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan di laman Facebook dan Twitter berkata, orang ramai perlu menghentikan penyebaran berita palsu kononnya bekas Perdana Menteri itu tidak berada di dalam sel penjara.
"Maklumat tidak sahih. Hentikan penyebarannya," kata Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut susulan tular di media sosial satu tangkap layar yang dipercayai disebarkan melalui aplikasi WhatsApp.
Mesej berkenaan antaranya mendakwa Ahli Parlimen Pekan itu ditempatkan di sebuah rumah pegawai kanan Penjara Kajang yang terletak dalam kawasan penjara terbabit.
"Najib tidak berada di dalam sel. Seorang sahabat yang sepupunya adalah seorang pegawai kanan penjara di Kajang, maklumkan Najib diberikan sebuah rumah di dalam kawasan penjara.
"Rumah berkenaan adalah untuk pegawai kanan penjara," dakwa mesej berkenaan.
Sebelum ini, Jabatan Penjara turut menafikan dakwaan bahawa Najib diberikan layan istimewa.
Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Beliau kini menjalani hukuman di Penjara Kajang.