Jabatan Penjara nafi Najib diberi layanan VIP

Afiezy Azaman
Ogos 24, 2022 12:04 MYT
Jabatan Penjara menggesa agar dihentikan penyebaran berita palsu berkaitan dakwaan wujud penjara VIP. -Facebook Jabatan Penjara Malaysia
KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia menafikan khabar angin bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menerima 'layanan istimewa' di Penjara Kajang.
Dalam satu muat naik di Facebook, Jabatan Penjara Malaysia menggesa agar dihentikan penyebaran berita palsu berkaitan perkara tersebut.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan kemungkinan layanan VIP diberikan kepada Najib di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukumannya berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, pada Selasa.
Seorang pemilik akaun Facebook mendakwa penjara atau bilik tahanan untuk VIP tidak sama seperti bilik banduan biasa dan kemungkinan aksesnya lebih hebat berbanding rumah orang awam.
Setakat ini, Astro AWANI sedang cuba mendapatkan kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara Malaysia untuk keterangan lanjut berhubung dakwaan tersebut.
#penjara VIP #Penjara Kajang #Najib Razak #SRC International
;