Jabatan Penjara disaran buat kajian mengenai 'private prison'

Bernama
November 22, 2019 05:14 MYT
Jabatan Penjara disaran membuat kajian mengenai 'private prison' atau penjara swasta jika pelaksanaannya wajar diberi pertimbangan. -Gambar hiasan
Jabatan Penjara disaran membuat kajian mengenai 'private prison' atau penjara swasta jika pelaksanaannya wajar diberi pertimbangan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.
Beliau berkata jabatan berkenaan boleh membuat kertas cadangan berhubung perkara itu jika dirasakan ia dapat dilaksanakan, dan kemudian kemukakan kepada kementerian untuk pertimbangan.
"Jika pihak kementerian merasakan ia (kertas cadangan) boleh dibawa kepada Kabinet, Menteri Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sendiri akan membawanya ke Kabinet untuk dipertimbangkan," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Kolokium Pembaharuan Penjara di Ibu Pejabat Penjara Malaysia di Kajang pada Jumaat.
Beliau berkata setakat ini, kira-kira 74,000 banduan sedang menjalani hukuman di penjara seluruh negara walaupun kapasiti sebenar hanya boleh memuatkan kira-kira 52,000 penghuni.
Mohd Azis berkata beliau sempat melihat operasi private prison semasa lawatannya ke United Kingdom (UK) baru-baru ini dan ia tidak memerlukan kerajaan untuk membina penjara baharu.
Sementara itu, mengulas mengenai langkah kerajaan bagi menaik taraf penjara lama di negara ini, Mohd Azis berkata tiga penjara iaitu di Pengkalan Chepa, Kelantan; Batu Gajah, Perak dan Seremban, Negeri Sembilan akan ditambah baik bermula tahun hadapan.
Menurutnya, tiga lagi penjara iaitu di Taiping, Perak; Muar, Johor dan Pulau Pinang yang juga perlu diselenggara turut mendapat perhatiannya.
"Struktur bangunan ini sudah terlalu lama dan kami akan mendapatkan peruntukan ...jika boleh untuk tahun hadapan," katanya.
-- BERNAMA
#Datuk Mohd Azis Jamman #Jabatan Penjara #penjara swasta #private prison #Timbalan Menteri Dalam Negeri
;