Jabatan Penjara cadang laksana Tahanan Rumah - Saifuddin

Ridauddin Daud
Oktober 9, 2023 23:22 MYT
Kata Saifuddin, pelaksanaan Tahanan Rumah akan memberi kelonggaran kepada golongan tertentu khususnya ibu mengandung untuk menjalani hukuman di luar penjara. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia berhasrat melaksanakan Tahanan Rumah dan Penangguhan Hukuman dengan Intervensi oleh pegawai penjara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan Tahanan Rumah dengan anggaran kira-kira 16,000 orang layak dipertimbangkan akan menyumbang kepada pengurangan kesesakan di penjara.
Tambah Saifuddin, pelaksanaan Tahanan Rumah juga akan memberi kelonggaran kepada golongan tertentu khususnya ibu mengandung untuk menjalani hukuman di luar penjara.
“Seorang wanita dijatuhkan hukuman atas apa pun kesalahan sedang hamil, kerana hukumannya itu dia mesti ditempatkan di penjara.
"Kalau kita boleh adakan tahanan di rumah ibu hamil ini yang sepatutnya berada di rumah jaga kehamilan, kita pakaikan peranti pemantauan elektronik (EMD).
“Kalau kita tidak terokai cara ini, ibu hamil itu akan jadi penghuni penjara,” katanya ketika membentangkan Reformasi Penjara dan Pusat Tahanan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan bersetuju untuk meminda undang-undang, membolehkan individu terlibat dengan penyalahgunaan dadah dihantar ke pusat pemulihan tanpa proses pendakwaan di mahkamah.
Jelasnya, cadangan tersebut untuk memastikan sistem perundangan semasa kekal relevan dengan mengalihkan penyalahgunaan dadah dari hukuman penjara kepada program rawatan.
“Kerajaan bersetuju bahawa dasar pengalihan penyalahgunaan dadah dari hukuman penjara ke program rawatan dan pemulihan dadah perlu dilaksanakan.
“Ini bagi membolehkan individu yang menyalahgunakan dadah, memasukkan dadah di dalam badan, kalau mengikut laluan biasa polis tangkap, buka kertas siasatan, ada bukti bawa ke mahkamah, hakim jatuh hukuman masuk penjara.
“Kalau pindaan ini mendapat sokongan Yang Berhormat dalam sidang kali ini pada sesi belanjawan kali ini, insya-Allah kita pinda bagi membolehkan pesalah jenis ini setelah disahkan oleh pegawai perubatan, kita akan terus bawa mereka ke pusat pemulihan,” ujarnya.
Dalam pembentangan sama, Saifuddin memaklumkan KDN juga telah bersetuju Peraturan-Peraturan Lokap yang baharu diwujudkan bagi menggantikan Kaedah-Kaedah Lokap 1953 yang tidak pernah dikaji sejak 70 tahun lalu.
"Ini demi memastikan ianya selari dengan keperluan semasa dalam menjamin hak asasi tahanan dan menambah baik pengurusan lokap.
"Ia adalah bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku seperti kematian tahanan dalam lokap dan kecuaian petugas lokap ketika menguruskan tahanan," katanya.
#Dewan Rakyat #KDN #tahanan rumah #ibu mengandung
;