Jabatan Peguam Negara tidak rayu kes Dr Ling Liong Sik

Bernama
November 9, 2013 08:00 MYT
Jabatan Peguam Negara tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik daripada tuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mengetuai barisan pendakwaan dalam kes itu mengesahkan perkara itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) Jumaat.
Pada 25 Okt lalu, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Dr Ling di akhir kes pembelaan setelah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan.
Dr Ling, 70, yang diperintah membela diri pada 9 Mac tahun lepas, didakwa menipu kerajaan untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang bagi pembinaan projek 'Mega Distribution Hub' yang kini dikenali PKFZ, pada 2002.
#Jabatan Peguam Negara #Ling Liong Sik #Mahkamah Tinggi #Pelabuhan Klang #PKFZ #Pulau Indah #Zon Bebas Pelabuhan Klang
;