Jabatan Narkotik Balai Polis Seksyen 15 terbakar
Bernama
Mei 29, 2017 12:46 MYT
Mei 29, 2017 12:46 MYT
Sebuah bangunan setingkat di Balai Polis Seksyen 15 di sini yang menempatkan Jabatan Narkotik rosak teruk dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.43 pagi tadi dan sepasukan 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bersama tiga jentera dikerah ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi, api telah marak dan ditambah dengan faktor struktur bangunan lama, api terus merebak dengan cepat.
"Bagaimanapun, bomba dapat mengawal kebakaran selepas sejam kemudian dan operasi memadam ditamatkan kira-kira 7 pagi tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bangunan itu mengalami kerosakan sehingga 60 peratus .
-- BERNAMA